
Kerajaan Nafi Berlaku Kebocoran Data 17 Juta MyKad
Kerajaan menafikan berlakunya kebocoran data 17 juta dokumen rasmi MyKad milik rakyat Malaysia seperti didakwa di media sosial, baru-baru ini.
Menurut hantaran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di laman X, siasatan yang dibuat mendapati tiada kebocoran data ataupun dan transaksi mencurigakan berlaku dalam sistem dibawah seliaannya.
Dalam masa sama, jabatan tersebut turut menegaskan bahawa tiada sebarang kes seperti demikian melibatkan sistem JPN pernah berlaku sebelum ini.
“JPN juga telah berhubung dengan pihak NACSA dan PDRM bagi membolehkan siasatan diperingkat mereka diambil.
“Pada masa yang sama, JPN akan sentiasa memastikan keselamatan dan integriti data rakyat Malaysia yang berada di bawah jagaan JPN adalah terjamin dan selamat,” ujar hantaran itu.
Kerajaan nafi kebocoran data 17 juta MyKad rakyat Malaysia seperti yang didakwa
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut menegaskan tiada insiden kebocoran data ataupun transaksi mencurigakan berlaku dalam sistem JPN seperti yang didakwa.
Ujar beliau, kerajaan memberi jaminan bahawa integriti data, terutama maklumat penduduk, sentiasa dijaga.
Manakala Ketua Pengarah NACSA, Ir Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin turut memaklumkan bahawa analisis awal telah dijalankan pihaknya berhubung dakwaan kebocoran berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, siasatan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia JSJK Bukit Aman setakat ini tidak menemukan sebarang bukti berhubung dakwaan itu.
“Pihak JSJK akan terus melakukan pemantauan bagi menentukan kesahihan maklumat itu. Siasatan sewajarnya akan dilaksanakan bersama-sama agensi lain yang berkaitan sekiranya laporan polis berkenaan isu itu diterima kelak,” katanya.
BACA: Budaya Sarapan Di Malaysia Diiktiraf Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO