SIS Forum: Menteri Agama Akan Teliti Keputusan Mahkamah
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato Setia Dr Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar hari ini menyatakan penghormatan beliau terhadap prinsip kedaulatan undang-undang dan keputusan kehakiman Mahkamah Persekutuan.
Kenyataan ini susulan keputusan yang dibuat mahkamah berkenaan dalam berpihak kepada pertubuhan Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia). Pertubuhan berkenaan telah mengemukakan cabaran terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 17 Julai 2014.
“Keputusan ini akan diteliti secara menyeluruh demi memastikan kedudukan dan kewibawaan institusi fatwa tidak terjejas dalam jangka panjang. Saya ingin menegaskan bahawa fatwa tetap memainkan peranan penting dalam membimbing umat Islam dalam isu-isu semasa yang memerlukan panduan syariah,” tegas beliau.
Tambahnya lagi, institusi kehakiman, perundangan dan pihak berkuasa agama perlu bekerjasama erat. Hal ini berikutan kepentingan kesemua pihak ini dalam menjamin kedudukan institusi fatwa dalam kerangka sistem perlembagaan negara.
“Kerajaan MADANI akan memastikan pentadbiran hal ehwal Islam di Malaysia dilaksanakan secara adil dan berlandaskan prinsip syura, ilmu serta berpaksikan lunas undang-undang negara.
“Pada masa sama, Kerajaan MADANI akan terus mempertahankan kedudukan institusi agama Islam selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan,” jelasnya.
Sumber: Dato Setia Dr Naim
BACA: Jabatan Pertanian Perkenal Perangkap Serangga Solar, Tingkat Kualiti Durian
BACA: MCMC Fail Tindakan Sivil Terhadap Dua Saluran Di Platform Telegram