PUTRAJAYA, 30 Dis — Senator Ras Adiba Radzi meminta kerajaan untuk memberi kebenaran dan kelonggaran kepada pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan tadika untuk murid berkeperluan khas, beroperasi seperti biasa.
Beliau yang mewakili komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) di Dewan Negara berkata pihaknya mendapat maklum balas bahawa kanak-kanak OKU seperti autisme dan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD), berdepan dengan pelbagai cabaran akibat terkurung di rumah.
“Kami cuba beri sokongan kepada ibu bapa kerana memang susah sangat bagi mereka, selalunya anak-anak boleh dihantar ke kelas istimewa seperti Genius Kurnia dan sebagainya, tetapi dengan keadaan sekarang, anak-anak ini tak boleh keluar jadi kalau (ibu bapa) yang ada tiga orang anak OKU, mereka susah.
“Jadi saya mohon kerajaan untuk pertimbangkan agar kita dapat menghantar anak-anak istimewa ini ke pusat pendidikan khas atau PDK yang dapat membantu mereka supaya mereka tak lupa apa yang telah diajar oleh cikgu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Musaadah COVID-19 kepada Persatuan OKU Sentral, di sini hari ini.
Ras Adiba yang juga Presiden Persatuan OKU Sentral menerima sumbangan RM50,000 daripada Tabung Musaadah COVID-19 Jakim-Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) yang disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary.
Sumber: Bernama