Kerajaan Dicadang Perkenal Skim Subsidi Kota Dalam Pelaksanaan Subsidi Bersasar
KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) — Seorang Ahli Dewan Negara hari ini mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan skim subsidi kota dalam pelaksanaan program subsidi bersasar, khusus untuk warga kota di negara ini.
Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkata sekiranya ia dipertimbangkan, kerajaan mungkin boleh menilai beberapa syarat dan piawaian yang harus dipatuhi oleh warga kota yang layak mendapat subsidi bersasar.
“Antara contoh syaratnya ialah pendapatan isi rumah di bawah RM5,000, penduduk tetap Wilayah Persekutuan, hilang pekerjaan, dan kemalangan dan keilatan kekal,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata program subsidi bersasar merupakan formula terbaik dalam usaha menstrukturkan semula ekonomi, memandangkan ketirisan subsidi melibatkan ratusan juta ringgit yang dinikmati oleh golongan kaya dan warga asing.
Mohd Hisamudin berkata pada 2022 hingga Oktober lepas, beliau menerima rungutan dan maklum balas daripada penduduk beberapa kawasan tumpuan B40 di ibu negara yang terbelenggu dengan masalah miskin bandar, antaranya di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) Sentul, Bandar Tun Razak, Cheras dan sekitar Segambut.
“Secara jujurnya, saya mendapati kehidupan golongan miskin bandar sebenarnya lebih mencabar berbanding golongan miskin di luar bandar. Jika kita bandingkan, kita boleh bercucuk tanam di kampung atau menangkap ikan untuk menyara hidup di kampung.
“Namun bagi golongan miskin bandar, jika tiada wang untuk membeli bahan mentah, maka memang akan mengalami kelaparan. Situasi inilah yang membimbangkan saya kerana kos sara hidup di bandar semakin meningkat,” katanya.
Dalam pada itu, Senator Mohd Hasbie Muda mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula skim pencen sektor awam berikutan jumlahnya yang semakin bertambah setiap tahun.
Beliau berkata ini kerana terdapat dakwaan bahawa sistem persaraan ketika ini hanya menguntungkan mereka yang pernah memegang jawatan utama sektor awam (JUSA) yang mendapat bayaran pencen lebih besar daripada gaji kebanyakan rakyat Malaysia.
“Memang saya difahamkan kerajaan akan mengkaji semula soal gaji penjawat awam dan kita menyokong supaya semua penjawat awam kita mendapat gaji yang bermaruah, tetapi kita juga harus mengkaji dari sudut pencen kita.
“Di luar sana ada dakwaan sistem pencen ini sangat menguntungkan mereka yang merupakan JUSA yang mendapat pencen kadang-kadang lebih besar daripada gaji kebanyakan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Senator Datuk Dr Ahmad Azam Hamzah mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan pusat sehenti yang menjual barangan dan produk keluaran Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di setiap negeri dan menjadikannya sebagai tempat yang ‘wajib’ dikunjungi pelancong asing.
“Hal ini banyak dilakukan oleh banyak negara seperti China, Indonesia dan Thailand. Saya rasa setakat ini di Malaysia tiada lagi pusat sehenti yang wajib dikunjungi oleh pelancong dan sudah tiba masanya untuk kita mempromosikan produk tempatan,” katanya.
Persidangan Dewan Negara bersambung Isnin.
Sumber: BERNAMA