Di Finland, bilangan golongan gelandangan yang terdapat di negara itu turun secara mendadak. Puncanya adalah, negara tersebut dikatakan menggunakan konsep “Rumah Pertama” ke atas rakyatnya. Golongan gelandangan yang tiada tempat tinggal ini akan diberikan sebuah apartment kecil serta kaunseling tanpa ada sebarang syarat yang membebankan.
4 daripada 5 orang rakyatnya yang mempunyai masalah ini kini kebanyakkannya mempunyai kehidupan yang lebih stabil. Dan kesemua ini juga lebih murah belanjanya daripada terus menerima dan membantu golongan gelandangan secara harian.
Sejak dari tahun 1980 lagi, kerajaan Finland telah cuba untuk mengurangkan kadar golongan gelandangan ini. Untuk jangka masa yang pendek, rumah perlindungan dibangunkan. Walau bagaimanapun, untuk jangka masa yang panjang, golongan gelandangan ini masih ketinggalan.
Kebanyakan golongan gelandangan ini didapati terperangkap kerana tidak boleh dapat peluang pekerjaan yang memperuntukkan alamat rumah. Dan ada juga yang tidak boleh mendapatkan bantuan sosial daripada kerajaan kerana tidak mempunyai alamat rumah.
Namun pada tahun 2008, kerajaan Finland telah memperkenalkan polisi baharu kepada golongan gelandangan ini. Polisi tersebut dikenali sebagai “Rumah Pertama”. Sejak dari itu, jumlah gelandangan yang terkesan didapati menurun secara mendadak.
Dan polisi tersebut ternyata berjaya selepas negara tersebut tersenarai dalam senarai negara yang paling banyak penurunan dalam isu gelandangan.
Ianya juga adalah kerjasama dari NGO dikenali sebagai “Y-Foundation” yang menyediakan rumah untuk golongan yang memerlukan ini. Mereka menyelenggara sendiri pembinaan rumah tersebut, beli rumah pangsa di pasaran perumahan swasta dan mengubah suai rumah pangsa yang sedia ada.
Orang-orang yang tidak berkemampuan menjadi penyewa dengan beberapa perjanjian penyewaan dibuat. Mereka juga perlu membayar sewa dan kos operasi. Pekerja sosial yang mempunyai pejabat di bangunan kediaman, akan membantu dari segi kewangan seperti permohonan untuk faedah sosial.
Sebagai tukaran, Y-Foundation akan diberikan diskaun daripada kerajaan untuk membeli rumah. Tambahan lagi, pekerja sosial yang menjaga kebajikan gelandangan ini akan turut dibayar oleh kerajaan. Kerajaan Finland juga akan memberi jaminan kepada Y-Foundation untuk memohon pinjaman daripada pihak bank bagi membeli rumah.
Untuk rekod, program “Rumah Pertama” ini berjaya menyediakan 4,600 rumah yang boleh digunakan golongan gelandangan di Finland. Pada 2017, terdapat kira-kira 1,900 orang yang tinggal di jalanan. Namun, masih banyak lagi ruang untuk mereka tinggal di rumah perlindungan kecemasan jika diperlukan. Ruang yang banyak itu menunjukkan bahawa inisiatif yang diterapkan oleh kerajaan Finland berhasil.
Sumber: Scoop.me