Kerajaan Akan Mengenakan Duti Anti-Lambakan Sementara PET Dari China, Indonesia
Pada 9 Ogos 2024, Kerajaan Malaysia telah memulakan penyiasatan duti anti-lambakan terhadap import produk Polyethylene Terephthalate (PET) yang berasal atau dieksport dari Republik Rakyat China dan Republik Indonesia (dagangan subjek). Penyiasatan duti anti-lambakan telah dimulakan selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 (Akta) serta Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994 (Peraturan) berdasarkan petisyen yang difailkan oleh Recron (M) Sdn. Bhd. (Pempetisyen) yang mewakili industri tempatan yang mengeluarkan produk serupa.
Pempetisyen mendakwa dagangan subjek yang berasal atau dieksport dari Republik Rakyat China dan Republik Indonesia telah diimport ke Malaysia pada harga yang lebih rendah daripada harga yang dijual di pasaran domestik negara-negara tersebut dan ini telah menyebabkan kemudaratan material kepada industri tempatan di Malaysia.
Kerajaan telah membuat penentuan awal berkenaan penyiasatan anti-lambakan tersebut sepertimana diperuntukkan di bawah seksyen 23 dalam Akta. Kerajaan mendapati bahawa terdapat bukti yang mencukupi untuk meneruskan penyiasatan terhadap pengimportan dagangan subjek dari Republik Rakyat China dan Republik Indonesia. Oleh yang demikian, Kerajaan telah memutuskan untuk mengenakan duti anti-lambakan sementara dalam bentuk jaminan bank yang bersamaan dengan nilai margin lambakan yang telah dikenal pasti dalam penentuan awal.
Duti anti-lambakan sementara di antara 6.33% hingga 37.44% adalah perlu dikenakan ke atas import dagangan subjek dari Republik Rakyat China dan Republik Indonesia untuk mengelakkan sebarang kecederaan material lanjut terhadap industri tempatan dan akan berkuatkuasa bagi tempoh tidak melebihi 120 hari, mulai 7 Januari 2025.
Penentuan muktamad akan dibuat tidak lewat daripada 6 Mei 2025. Pihak berkepentingan seperti pengimport, pengeluar/pengeksport asing dan persatuan persatuan yang berkaitan dengan penyiasatan dialu-alukan untuk memberi ulasan atau pandangan terhadap laporan penentuan awal kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) selewat-lewatnya pada 17 Januari 2025 (Jumaat), 5.30 petang (waktu Malaysia). Pihak berkepentingan boleh mendapatkan salinan versi tidak sulit laporan Penentuan Awal dengan membuat permohonan bertulis kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) seperti berikut:
Pengarah Seksyen Amalan Perdagangan
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI)
Aras 9, Menara MITI
No. 7, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah
50480 Kuala Lumpur, MALAYSIA
Nombor Telephone : (603) 6208 4632 / 4634 / 4636
Nombor Fax : (603) 6211 4429
Alamat E-mail : alltps@miti.gov.my