
Aksi di litar berada pada tahap paling sengit apabila perlumbaan pertama daripada dua perlumbaan penutup musim Toyota GAZOO Racing Malaysia Vios Challenge menyaksikan pelumba bukan pilihan mencuri tumpuan, sekali gus menjadikan perebutan kejuaraan keseluruhan masih terbuka luas.
Dengan hanya satu perlumbaan terakhir berbaki dan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM300,000 dipertaruhkan, juara keseluruhan bagi Kelas Super Sporting, Sporting dan Rookie hanya akan ditentukan selepas bendera penamat dikibarkan esok (10 Jan).
Litar Selatan sepanjang 2.609km di Petronas Sepang International Circuit yang digunakan buat kali pertama dalam Vios Challenge terbukti lebih teknikal, memerlukan strategi tinggi serta mencabar keupayaan semua pelumba.

Kelas Super Sporting :
Dalam Kelas Super Sporting elit, Ady Rahimy dari Laser Motor Racing mengekalkan kedudukan pendahulu dari petak utama untuk meraih kemenangan, menamatkan perlumbaan 1.4 saat di hadapan William Ho dari Toyotsu Racing, manakala Amer Harris (KMS 333 Motorsports) melengkapkan kedudukan tiga teratas.
Ady memulakan perlumbaan dengan cemerlang apabila mendahului seawal selekoh pertama perlumbaan selama 30 minit itu, dan pada kemuncaknya mencipta jurang sehingga 5.4 saat di hadapan Ho menjelang pusingan ke-15.
Namun kelebihan tersebut semakin mengecil selepas kereta keselamatan dikeluarkan pada pusingan ke-16, dengan baki hanya 8 minit perlumbaan bagi membolehkan Vios milik Kenneth Koh (PCM Group Racing Team) yang terhenti di litar dialihkan.
“Rasanya sangat bermakna dapat kembali ke podium selepas musim yang amat mencabar buat saya. Walaupun saya sudah tidak lagi bersaing untuk gelaran juara keseluruhan, kemenangan ini sangat penting untuk mengukuhkan kedudukan saya di tempat ketiga keseluruhan,” kata Ady dengan penuh kegembiraan, sambil mengimbas masalah kesihatan pada Pusingan 2 dan insiden tayar bocor pada Pusingan 3 yang menamatkan lebih awal peluangnya memburu kejuaraan 2025.

Dengan perbezaan mata yang kecil antara Freddie Ang (Telagamas Toyota) dan Mitchell Cheah (Team Prima Pearl SP Selatan) dalam perebutan gelaran juara keseluruhan Musim 8, Ang terpaksa berpuas hati di tempat kelima manakala Cheah menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh.
Ang melalui perlumbaan yang mencabar apabila beberapa kali bertukar posisi dengan Koh sebelum menerima tekanan daripada Amer dan Nabil Azlan (Wheelcorp). Koh kemudiannya menarik diri, manakala Amer yang berada di tempat keempat berjaya memintas Ang pada penghujung perlumbaan sebelum memotong Bradley Benedict (PS Otomobil) untuk meraih tempat ketiga pada pusingan terakhir.
Pemenang keseluruhan Kelas Super Sporting bakal membawa pulang RM80,000, manakala naib juara dan tempat ketiga masing-masing menerima RM60,000 dan RM40,000.

Kelas Sporting :
Pelumba remaja dan bekas juara Rookie Toyota GAZOO Racing Malaysia, Adam Mikail, mempamerkan aksi bertenaga dalam Kelas Sporting apabila menjuarai perlumbaan selama 30 minit itu dengan kelebihan 3.3 saat ke atas pencabar terdekatnya.
Pelumba G-Mart Motorsport itu bermula dari petak kedua tetapi pantas memimpin perlumbaan, diikuti rapat oleh Nick THZ (Motul by Awesome Racing Team) dan Taj Izrin Aiman (Saksama Motorsports).
Enam pusingan awal menyaksikan pertarungan sengit antara Adam dan Nick dengan beberapa detik cemas serta pertukaran kedudukan, namun Adam kekal tenang untuk mempertahankan kedudukan pendahulu.
Taj pada awalnya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga tetapi dikenakan penalti, sekali gus menaikkan Ng Khai EE (HLT Crestmax Motorsports) ke podium.
“Ia perlumbaan yang sangat mencabar, terutamanya dengan Nick yang sama pantas dan agresif. Detik paling bermakna pastinya apabila berjaya melintasi garisan penamat di tempat pertama,” kata Adam.
Sementara itu, bekas pelumba Rookie, Jwan Hii, yang berada pada laluan terbaik untuk menjuarai gelaran keseluruhan, menamatkan perlumbaan di tempat keempat bersama Hong Huat X Armada KK Racing dan akan memulakan Perlumbaan 2 dari barisan kedua grid.

Kelas Rookie :
Walaupun tumpuan terarah kepada Rahul Dev dan Ian James yang hanya dipisahkan empat mata (masing-masing 147 dan 143 mata) dalam perebutan gelaran juara keseluruhan Rookie, Harkiesh Geeva mencuri perhatian apabila menjuarai Perlumbaan 1.
Harkiesh melintasi garisan penamat hanya satu saat di hadapan Rahul, dengan Aydan Khaliq di tempat ketiga. Keputusan tersebut menjadikan perebutan gelaran keseluruhan Kelas Rookie kembali terbuka secara matematik kepada empat pelumba teratas. Ian James gagal memanfaatkan Perlumbaan 1 apabila menamatkan saingan di tempat kelima di belakang Genevieve Ooi.

Perlumbaan Vios Klasik :
Dalam Perlumbaan 1 bagi penganjuran sulung Vios Classic Race, pasangan dari Thailand, Surasak Dakeng dan Varunchit Wattanathanakun, pada awalnya memenangi perlumbaan 1 jam menggunakan Vios generasi kedua RUK Team Nexzter PMC 52, namun dikenakan penalti dan terpaksa berpuas hati di tempat keempat.
Keputusan tersebut melonjakkan Alister Yoong dan Aman Nagdev (Axle Sports) ke tempat pertama, diikuti Lim Yoong Kit dan Kenneth Koh di tempat kedua, manakala Loke Yin Yi dan Kenny Lee (Kegani Racing Academy) menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Siri Perlumbaan Vios Klasik menampilkan barisan Toyota Vios generasi terdahulu dari Toyota GAZOO Racing Malaysia Vios Challenge untuk kembali beraksi di litar. Setiap pasukan dibenarkan dua pemandu dengan hentian pit wajib selama dua minit.

Semua kenderaan kekal dalam spesifikasi standard tanpa sebarang pengubahsuaian bagi memastikan perlumbaan yang adil dan kompetitif. Perlumbaan 2 akan menggunakan format grid terbalik, di mana pemenang Perlumbaan 1 akan bermula dari kedudukan keenam.
Setiap pemenang perlumbaan akan menerima RM10,000, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang RM8,000 dan RM6,000. Peserta di tempat keempat dan kelima pula menerima RM4,000 dan RM2,000.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan perlumbaan terakhir (Perlumbaan 2) Vios Challenge Musim 8! Ikuti Toyota GAZOO Racing Malaysia di media sosial untuk kemas kini langsung, sorotan perlumbaan serta kandungan eksklusif di sebalik tabir.
Facebook: facebook.com/tgrmy
Instagram: instagram.com/tgrmalaysia
YouTube: youtube.com/@tgrmalaysia
Untuk maklumat lanjut mengenai jadual perlumbaan, profil pelumba dan perkembangan terkini, layari www.toyota.com.my/en/tgrmalaysia