
Keputusan Shamsul Iskandar Letak Jawatan Bukti Kerajaan MADANI Berintegriti – PM Anwar
KOTA KINABALU, 27 Nov (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan setiausaha politik kanannya Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin meletakkan jawatan susulan terkait dakwaan rasuah, membuktikan bahawa Kerajaan MADANI mengamalkan tahap integriti yang tinggi.
Beliau berkata tindakan Shamsul Iskandar meletakkan jawatannya itu adalah suatu perkara yang tidak pernah berlaku dalam mana-mana pentadbiran sebelum ini.
“Beliau terus meletak jawatan dan meminta siasatan dijalankan oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Mana ada dulu macam itu? Ini ada tuduhan terus berhenti dan panggil SPRM siasat. Barulah kita ada integriti.
“Dulu, kalau Perdana Menteri disiasat, menantu lari ke luar negara. Nak cakap soal integriti, integriti apa itu?” kata Anwar ketika sesi townhall pada program PMX Sayang Sabah Bersama Anak Muda Inanam di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata beliau sentiasa menitipkan pesanan kepada semua petugasnya untuk mengambil tanggungjawab sekiranya didapati terlibat dalam sebarang salah laku yang mencemarkan integriti.
Anwar turut menegaskan untuk memastikan Malaysia mencapai status sebuah negara yang berjaya, asasnya perlu bermula dengan tatakelola pemerintahan yang baik.
Pada Selasa, Shamsul Iskandar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, berikutan terdapat percubaan untuk menyerang beliau dengan perkara yang boleh merosakkan imej Kerajaan MADANI.
BACA: Rakyat Sabah Perlu Tolak Pemimpin Bolot Kekayaan, Tindas Orang Miskin – Anwar
Sumber: BERNAMA