KUALA LUMPUR, 19 Nov – Keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melarang penjualan minuman keras (arak) di kedai runcit mulai 1 Oktober 2021 adalah muktamad.
Perkara demikian ditegaskan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menerusi satu ciapan di Twitternya, malam tadi.
Sebelum ini, DBKL telah menetapkan Garis Panduan dan Syarat-syarat Permohonan Lesen Minuman Keras (Liquor Yang Memabukkan – LMK) bagi wilayah tersebut.
Garis panduan tersebut menjelaskan, jualan liquor di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat cina adalah tidak dibenarkan berkuatkuasa 1 Oktober baru-baru ini.
Dalam masa sama, tiada lagi lesen baharu LMK yang boleh dimohon premis-premis tersebut bermula pada tarikh yang sama.
“(Bagaimanapun) untuk LMK sedia ada di premis berkenaan, pembaharuan dibenarkan sehingga 30 September 2021 sahaja,” jelas garis panduan tersebut, baru-baru ini.
Manakala premis atau jenis aktiviti yang diwajibkan lesen LMK adalah pub, bar, ‘lounge’, restoran, gudang, stor, program dan acara yang ada menjual atau menghidangkan minuman keras tersebut.
Sementara itu, beberapa syarat lain yang ketat juga turut dinyatakan, antaranya pemohon atau pemegang lesen hanya dibenarkan bagi yang bukan beragama Islam sahaja.
“Pemilik perniagaan mestilah terdiri daripada orang bukan beragama Islam (bagi pemilik tunggal atau perkongsian) dan majoriti orang bukan beragama Islam dalam lembaga pengarah syarikat.
“Selain itu, premis perlu memastikan tiada pengunjung beragama Islam yang meminum (atau membeli) minuman keras dan papan kenyataan larangan ini hendaklah dipamerkan di pintu masuk premis.
“Dalam masa sama, perkhidmatan penghantaran ‘designated driver’ atau e-hailing bagi pelanggan yang mabuk di premis LMK Rumah Awam Kelas 1 adalah digalakkan,” maklum garis panduan itu lagi.
Garis panduan penuh boleh dirujuk di SINI.
Sumber: Twitter rasmi Tan Sri Annuar Musa