SELAYANG – Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun mengalami detik cemas apabila kepalanya tersepit di jeriji pintu rumah pengasuhnya di Taman Berlian semalam, lapor Sinar Harian.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa dikatakan bermain dan memanjat jeriji pagar tersebut.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malasia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihak mereka menerima panggilan kecemasan itu pada jam 2:05 petang.
Seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang bersama jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya lagi, sejurus tiba di lokasi kejadian, pihak mereka mendapati seorang kanak-kanak tersangkut pada jeriji pintu hadapan rumah pengasuhnya.
Sementara itu, anak kepada pengasuh tersebut berkata kejadian yang berlaku itu membabitkan anak jirannya. Menurutnya, kanak-kanak itu baru sehari tinggal di rumah mereka disebabkan pengasuhnya sebelum ini meminta bantuan mereka untuk menjaganya.
Mereka juga tidak menyangka kejadian seperti ini boleh berlaku. Namun, mereka bersyukur apabila mendapati bahawa kanak-kanak itu selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, mereka sekeluarga menyedari kejadian itu semasa sedang berehat di ruang tamu sebelum dikejutkan dengan tangisan kanak-kanak tersebut.
Sumber: Sinar Harian