
Kenyataan Media Pemangku Ketua Polis KL Berkenaan Perhimpunan #TurunAnwar
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima pemakluman awal daripada pihak penganjur, Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM), berhubung rancangan untuk mengadakan perhimpunan #TurunAnwar pada Sabtu, 26 Julai 2025.
Perhimpunan ini dijangka menghimpunkan antara 10,000 hingga 15,000 orang peserta yang terdiri daripada gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa serta masyarakat awam.
Para peserta dijangka berkumpul di lima lokasi utama sebelum bergerak ke Dataran Merdeka, iaitu:
Masjid Negara
Pasar Seni
Masjid Jamek Sultan Abdul Samad
Masjid Jamek Kampung Baru
Kompleks SOGO
“Hasil semakan yang dibuat hingga 16 Julai 2025, terdapat sebanyak 60 laporan polis telah dibuat di seluruh negara termasuk sepuluh laporan darinya dibuat di Kuala Lumpur,” tulis kenyataan itu.
Justeru, bagi memastikan keselamatan pengguna pengangkutan awam, pihak polis dan pengendali perkhidmatan awam akan ditambah di beberapa stesen tumpuan, iaitu:
Stesen LRT KL Sentral
Stesen LRT Pasar Seni
Stesen LRT Masjid Jamek
Stesen LRT Dang Wangi
Stesen LRT Plaza Rakyat
Stesen LRT Bandaraya
Stesen LRT Sultan Ismail
Stesen MRT Muzium Negara
Stesen MRT Merdeka
Stesen MRT Bukit Bintang
Stesen Monorail Imbi
Stesen Monorail Raja Chulan
Stesen Monorail Bukit Nanas
Stesen Monorail Medan Tuanku
Stesen Monorail Chow Kit
Difahamkan, langkah ini diambil untuk menjamin kelancaran sistem pengangkutan awam dan mengelakkan sebarang gangguan yang boleh menjejaskan kestabilan ekonomi negara.
PDRM juga menjangkakan kesesakan jalan raya di sekitar pusat bandar berikutan peningkatan jumlah peserta.
Namun begitu, tiada penutupan jalan akan dilaksanakan, sebaliknya pemantauan dan kawalan lalu lintas akan dijalankan bagi memastikan kelancaran pergerakan orang ramai.
Dalam pada itu, PDRM menasihati pihak penganjur serta peserta perhimpunan agar mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.
“PDRM menasihati pihak penganjur dan peserta agar mematuhi semua peraturan serta undang-undang sedia ada semasa berhimpun selaras dengan hak-hak kebebasan berhimpun secara aman yang diperuntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Peruntukan tersebut hendaklah digunakan secara baik dan berkhemah,” tegas kenyataan itu.
PDRM turut mengingatkan agar peserta tidak melakukan perkara-perkara berikut semasa perhimpunan:
1. Membawa sebarang objek tajam (besi/ kayu)
2. Membawa senjata seperti pisau, parang dan lain-lain barangan merbahaya
3. Membawa/membakar mercun/bunga api/bom asap/suar (Firecrackers/Flares)
4. Menulis, membawa dan mempamerkan sepanduk (placard) berunsur 3R (Race, Religion, Royalty)
5. Mengeluarkan ucapan berunsur fitnah/ tuduhan palsu
6. Membawa kanak-kanak semasa perhimpunan
7. Merusuh dan melawan arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa.
PDRM menyeru kerjasama sepenuhnya daripada orang ramai dan peserta agar perhimpunan ini berlangsung secara aman tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang mencetuskan kekacauan, rusuhan atau melakukan provokasi melampau.
PDRM komited untuk memastikan keselamatan di sekitar Kuala Lumpur sentiasa terkawal dan tidak mengganggu aktiviti harian serta ekonomi negara.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mengunjungi mana-mana Balai Polis berhampiran.
BACA: SARA MyKad RM100: Cara Guna, Lokasi Pembelian & Senarai Barangan Yang Boleh Dibeli
Sumber: Polis KL