Kenyataan Bersama Berhubung Kerjasama Pertahanan 3rd MAJDP HLC
Menteri Pertahanan Malaysia, YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia TYT Richard Marles, telah mempengerusikan Mesyuarat Ke-3 MAJDP HLC di Kuala Lumpur secara bersama, pada 23 Ogos 2023.
Kedua-dua Menteri telah memperakukan keutuhan kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Australia, yang berasaskan sejarah, keyakinan, dan saling menghormati, yang diterjemahkan menerusi Kerjasama Strategik Komprehensif.
Kedua-dua Menteri bersetuju bahawa kerjasama pertahanan dua hala yang kukuh adalah berpandukan Malaysia-Australia Joint Defence Program atau MAJDP. Kedua-dua Menteri memuji pelbagai aktiviti yang telah dilaksanakan di bawah MAJDP, termasuk program pendidikan, latihan dan eksesais bersama secara komprehensif.

TYT Timbalan Perdana Menteri menyatakan penghargaan kepada Malaysia kerana kekal menjadi hos kepada Angkatan Tentera Australia di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia di Butterworth. Kedua-dua Menteri mengiktiraf kepentingan Rifle Company Butterworth di mana penugasan berterusan mereka telah meningkatkan kebolehoperasian antara kedua-dua angkatan Tentera.
YB Menteri Pertahanan menyampaikan penghargaan beliau kepada Australia kerana menyokong projek penaiktarafan infrastruktur Pangkalan Udara Butterworth. Kedua-dua Menteri mengalu-alukan kemajuan projek penaiktarafan yang signifikan di pangkalan udara berkenaan.
TYT Timbalan Perdana Menteri Australia dan YB Menteri Pertahanan Malaysia mengesahkan kepentingan Operasi Gateway yang menyumbang ke arah keselamatan dan kestabilan serantau secara berterusan. Mereka berdua berkongsi pandangan yang sama berkaitan kepentingan meningkatkan kesedaran domain maritim (maritime domain awareness) menerusi pembangunan keupayaan dan kebolehoperasian antara kedua-dua angkatan tentera.
Kedua-dua Menteri menyatakan komitmen mereka terhadap Peraturan Pertahanan Lima Negara, atau Five Powers Defence Arrangements (FPDA) yang kekal sebagai tonggak keselamatan di rantau ini. Berpandukan prinsip aturan ini, semua inisiatif masa hadapan akan menyatukan dan memperkukuhkan negara-negara ahli FPDA, dan maju bersama pada kadar yang disenangi oleh kesemua negara ahli.

TYT Timbalan Perdana Menteri Australia dan YB Menteri Pertahanan Malaysia mengesahkan komitmen terhadap kepaksian ASEAN (ASEAN centrality) dalam arkitektur keselamatan serantau, termasuklah ASEAN Defence Ministers’ Meeting-Plus Experts’ Working Group (ADMM PLUS EWG). Kedua-dua Menteri mengambil maklum kepentingan ASEAN Outlook on the Indo Pacific, Zone of Peace, Freedom and Neutrality (ZOPFAN) dan Treaty on the Southeast Asia Nuclear Weapon-Free Zone (SEANWFZ).
TYT Timbalan Perdana Menteri Australia dan YB Menteri Pertahanan Malaysia mengesahkan komitmen untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau. Kedua-dua Menteri komited untuk bekerjasama rapat dalam menangani cabaran keselamatan bersama demi kepentingan serantau. Kedua-dua Menteri menekankan kepentingan untuk menghormati undang-undang antarabangsa, termasuk freedom of navigation and overflight. Kedua-dua Menteri menyatakan komitmen terhadap United Nations Convention on The Law of the Sea 1982 sebagai rangka kerja perundangan komprehensif untuk segala aktiviti maritim.
TYT Timbalan Perdana Menteri merakamkan penghargaan terhadap hospitaliti yang diterima sepanjang lawatan rasmi beliau dan mengalu-alukan YB Menteri Pertahanan untuk hadir ke Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi yang berikutnya di Australia.