BESUT, 10 Jan (Bernama) — Sebuah kenderaan pacuan empat roda milik seorang kontraktor ditembak beberapa kali oleh pihak yang tidak dikenali kira-kira pukul 5.45 pagi tadi.
Menurut sumber, mangsa berusia 34 tahun berada di dalam rumah ketika kejadian dan sempat keluar sebentar selepas terdengar seolah-olah bunyi letupan berhampiran kenderaan jenis Toyota Hilux yang diletakkan di hadapan rumahnya di Kampung Padang Luas, Jertih, di sini.
Mangsa kemudiannya mendapati cermin, bonet dan bumbung kenderaan itu telah berlubang akibat kesan tembakan.
Berikutan itu, beliau membuat laporan polis kerana bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar ketika dihubungi pemberita mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.
Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota unit forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu telah ke lokasi kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 kerana melepaskan tembakan bukan di lapang sasar.
— BERNAMA