Kenderaan Banyak, Trafik Perlahan 70km Arah Utara Dari Slim River Ke Gopeng

Fazidi

Cyberjaya, 30 April – Tepat 12 tengah malam tadi, bermulalah inisiatif tol percuma yang diumumkan oleh kerajaan sempena sambutan Aidilfitri kali ini.

Maka, tak hairanlah majoriti rakyat Malaysia mengambil keputusan untuk memulakan perjalanan pulang ke kampung bermula tengah malam semalam. Oleh itu, memang sudah dijangka lebuhraya-lebuhraya utama di seluruh tanah air akan mengalami kesesakan akibat pertambahan bilangan kenderaan di atas jalan raya.

Terbaru, dalam perkongsian yang dibuat kira-kira 30 minit lalu (ketika artikel ini ditulis), Plusline melalui laman Twitternya memaklumkan trafik perlahan hampir 70 kilometer Arah Utara dari Slim River ke Gopeng.

Plusline juga memaklumkan bahawa trafik perlahan antara Bidor ke Tapah melalui jalan Persekutuan.

Selain itu, dalam tweet yang berbeza, Plusline memaklumkan bahawa terdapat kejadian lori rosak di KM 263.2 arah Utara dari Ipoh (U) ke Terowong.

Kerosakan berkenaan menyebabkan trafik di laluan tersebut bergerak perlahan ketika ini. Plusline meminta semua pengguna jalan supaya berhati-hati dijalan raya.

Untuk perkembangan terkini info trafik, anda boleh mengikuti Plusline di laman Twitter.

Sumber: Twitter Plusline