Kenderaan Asing Dilarang Beli RON95, Tapi Boleh Beli RON97 Tanpa Had & 20 Liter Diesel Sehari

Edayu

JOHOR BAHRU – Kerajaan Malaysia melarang semua kenderaan termasuk motosikal yang bernombor pendaftaran asing membeli minyak petrol RON95.

Bagaimanapun, dalam laporan ringkas Bernama di Twitter memaklumkan bahawa kenderaan asing dibenarkan membeli minyak petrol RON97 tanpa had. Manakala bagi minyak diesel, pembelian dibenarkan sekali sehari dengan had 20 liter sahaja di mana-mana stesen minyak dalam jarak 25 kilometer daripada pintu sempadan Malaysia-Singapura.

Dalam satu laporan daripada Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, pengusaha stesen minyak di negeri Johor perlu bertindak proaktif dalam mencegah kenderaan berpendaftaran asing daripada mengisi petrol bersubsidi.

Katanya lagi, bagi mengekang penyelewengan itu daripada terus berlaku, orang awam diminta memberi kerjasama dengan mengambil bukti bergambar melibatkan warga Singapura yang bertindak mengisi petrol RON95 berserta butiran lengkap lokasi stesen minyak, tarikh dan masa kejadian.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata kementerian telah mengarahkan semua KPDNHEP negeri yang bersempadan dengan Singapura dan Thailand supaya mempergiat pemantauan dan pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974).

Akta itu memperuntuk penalti tidak melebihi RM1 juta atau hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali terhadap individu manakala perbadanan atau syarikat berdepan denda tidak melebihi RM2 juta.

BACA: Tangki Minyak Kurang 3/4, 55 Buah Kereta Singapura Diarah Patah Balik Di Sempadan Johor

Sumber: Bernama