Pernah tak anda terfikir, mengapa sesetengah pam tandas mempunyai dua butang? Bagi golongan jurutera dan kontraktor mungkin sudah mengetahui fungsinya, namun bagi anda yang belum tahu, ini jawapan untuk anda.
Untuk pengetahuan anda, kedua-dua butang tersebut bersambung dengan injap keluar yang berbeza. Jika anda perhatikan, setiap butang mengepam air dalam kadar yang berbeza.
Butang yang besar boleh mengepam lebih 6 hingga 9 liter air manakala butang yang kecil boleh mengepam 3 hingga 4.5 liter air, masing-masing untuk menghapuskan sisa kumbahan yang berbeza.
Butang besar mempunyai kapasiti untuk menghapuskan sisa pepejal manakala butang kecil untuk menghapuskan sisa kumbahan dalam bentuk cecair.
Penjimatan air
(Gambar: Wallpaper Better)Sekiranya sesebuah rumah menggunakan pam tandas dwi-fungsi tersebut, sebanyak 20,000 liter air dapat dijimatkan dalam tempoh setahun. Justeru, bil air pun akan menjadi lebih rendah.
Konsep ini diperkenalkan oleh seorang pereka perindustrian Amerika, Victor Papanek dalam bukunya, ‘Design For The Real World’ pada tahun 1976. Rekaan tersebut digunakan pertama kali di Australia pada tahun 1980.
Bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili pernah menyatakan purata rakyat Malaysia menggunakan air setiap hari ialah 300 liter, dua kali ganda lebih banyak dari saranan United Nation (UN) iaitu 165 liter dan melebihi purata penggunaan air negara maju seperti Amerika – walaupun Amerika antara negara yang mempunyai sumber air tawar terbanyak.
6.8 bilion penduduk dunia hanya tertumpu kepada 0.007% sumber air untuk meneruskan hidup. (Gambar: Google)Walaupun bumi mempunyai 70% air, hanya 2.5% daripada jumlah tersebut merupakan air tawar yang menjadi sumber minuman, masakan dan mandian. Daripada jumlah tersebut, hanya 1% yang boleh diakses dengan mudah – selebihnya sukar diakses kerana terletak di kawasan glasier dan padang salji.
Jadi, gunakanlah kedua-dua butang itu mengikut keperluan.
Sumber: Times of India, National Geographic, World Atlas