
Kenapa Malaysia Belum Sedia Nak Kerja Empat Hari Seminggu?
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan mengenai penghargaan khas yang dinantikan-nantikan rakyat Malaysia hari ini.
Antara penghargaan yang diumumkan adalah bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk semua rakyat, tiada kenaikan tol dan harga RON95 diturunkan kepada RM1.99 seliter.
Pastinya ramai yang menyambut baik insentif-insentif yang diberikan oleh kerajaan.
Bagaimanapun, tekaan pengguna media sosial mengenai waktu bekerja empat hari seminggu masih belum menjadi kenyataan. Terdahulu, ramai yang berharap agar Anwar memberikan berita baik berkaitan perkara terbabit.
Waktu bekerja empat hari seminggu telah diaplikasi dan dicuba di banyak negara sejak beberapa tahun lalu. Antara yang sudah melaksanakan inisiatif itu ialah Emiriah Arab Bersatu dan Belgium. Manakala, Sepanyol, Iceland, United Kingdom, Jerman dan Jepun telah melakukan ‘eksprimen’ untuk waktu kerja itu.
Belgium yang memperkenalkan undang-undang tersebut pada Februari 2022 bermatlamat untuk meningkatkan fleksibiliti dan produktiviti. Ia juga adalah sebahagian daripada usaha pemodenan pasaran buruh yang lebih luas.
Hasilnya, selain produktif, pekerja juga menjadi lebih yakin serta kurang tertekan.
Manakala di Jepun, inisiatif itu dilakukan bagi menangani isu terlalu banyak kerja, kesihatan mental dan penurunan kadar kelahiran. Matlamatnya juga adalah untuk menggalakkan kesaksamaan jantina dengan memudahkan lelaki mengambil peranan domestik dan memberi lebih banyak masa bersama keluarga.
Di Malaysia, kajian mengenai pelaksanaan waktu bekerja empat hari ini pernah dilaksanakan oleh pasukan khas Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 2022.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam pada ketika itu, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah berkata banyak perkara perlu diperhalusi terlebih dahulu sebelum melaksanakannya.
Pada tahun yang sama, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat memaklumkan waktu bekerja itu masih belum sesuai dilaksanakan di negara ini.
Menurutnya ketika itu, terdapat perkara lain yang melibatkan hal-hal kebajikan serta kadar gaji semasa pekerja yang belum diselesaikan kerajaan dan majikan.
Beliau berkata kerajaan perlu memfokuskan kepada isu pelaksanaan gaji minimum melalui sistem saraan baharu, penebusan awal gantian cuti rehat serta kenaikan pangkat secara time based yang dipendekkan.
Itu yang dinyatakan pada tiga tahun lalu, kini landskap pekerjaan di negara kita dilihat mengalami perubahan memberangsangkan. Terbaru, Anwar memaklumkan kadar gaji minimum RM1,700 berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 Ogos 2025. Hal ini sekaligus sedikit sebanyak memberikan sinar harapan kepada pekerja-pekerja untuk menjalani hidup yang lebih selesa dengan ‘gaji yang bermaruah’.
Diharapkan ia juga menjadi pemangkin untuk ke arah budaya pekerjaan yang lebih progresif. Berbalik kepada bekerja empat hari, kerajaan mungkin boleh mengambil pendekatan untuk melaksanakan percubaan terlebih dahulu. Jika tidak mampu dalam skala yang besar, mungkin boleh bermula dengan langkah kecil dahulu di sektor awam.