Kenapa “Aircond” Kapal Terbang Tutup Ketika Nak Berlepas? Ini Jawapan Juruterbang
Bagi sesiapa yang pernah menaiki kapal terbang sudah tentu pernah merasai pengalaman seram sejuk sebelum berlepas.
Suasana yang mulanya nyaman tiba-tiba berubah panas, sehingga membuatkan ada yang tertanya-tanya adakah situasi tersebut berpunca daripada masalah teknikal.
Ada penumpang yang mula rasa tidak selesa, manakala yang pertama kali terbang pula mungkin berasa panik seketika.
Namun, situasi ini sebenarnya normal dan berlaku disebabkan sistem pendingin hawa yang dimatikan buat sementara waktu.
Ramai tidak tahu prosedur ini dilakukan atas sebab keselamatan dan operasi pesawat. Berikutan itu, seorang juruterbang pesawat kargo sebuah syarikat swasta tampil menjelaskan perkara sebenar secara ringkas menerusi laman Facebook agar orang awam lebih mudah faham.
Ikuti perkongsian Mohd Ezairol Rezan Zainol di bawah.
Penjelasan ringkas sebab juruterbang matikan pendingin hawa ketika berlepas
Ok ini jawapannya. Aku cuba tulis semudah yang boleh bagi memudahkan orang awam faham.
Kenapa pendingin hawa dimatikan ketika nak berlepas?
Pertama, ada masanya juruterbang terpaksa tutup pendingin hawa sebelum berlepas sebab syarat untuk mendapatkan kuasa tujahan optimum bagi membolehkan pesawat berlepas.
Biasanya ia dilakukan bila muatan kapal hampir mencapai berat maksimum berlepas dan panjang landasan pula mungkin agak terhad.
“As for info, all takeoff is base on pilot’s calculation. Using aircraft performance charts or an onboard computer (FMS), the pilot determines the exact thrust needed to achieve the required takeoff distance for the day’s weight, temperature, altitude, and wind.
“This calculated thrust becomes the “optimum” for that specific takeoff.”
Kalau berat muatan pesawat tidak terlalu berat dan pesawat boleh berlepas dengan jumlah tujahan yang biasa, maka pendingin hawa pesawat tidak perlu dimatikan.
Kedua, ada juga keadaan di mana juruterbang terpaksa tutup salah satu pek pendingin hawa sebab bunyi blower dari pendingin hawa yang terlalu bising boleh mengganggu pendengaran juruterbang ketika waktu berlepas.
Penumpang memang tidak dapat dengar bunyi bising tersebut sebab anda tidak berada di ruangan kokpit.
Pendingin hawa tidak ditutup sepenuhnya cuma kekuatan blower itu sahaja yang dikurangkan. Blower (recirculation fan) masih berfungsi, cuma sejuknya menjadi sedikit kurang. Penumpang akan terasa macam angin saja yang keluar.
Sistem pendingin hawa akan diaktifkan semula seperti biasa bila pesawat melepasi fasa kritikal selepas berlepas.
Suhu pendingin hawa pula biasanya dikawal oleh juruterbang. Kalau terlalu sejuk atau mula terasa panas, suhu boleh disetkan kepada suhu yang ideal, biasanya antara 23 hingga 24 darjah C.
Begitulah serba sedikit perkongsian tentang isu yang dibangkitkan dan jawapan daripada seorang juruterbang yang biasa mengendalikan pesawat itu sendiri.
Semoga bermanfaat dan menjawab persoalan anda semua.
Sumber: Facebook Mohd Ezairol Rezan Zainol