Kenali ‘Tanglung Pari-pari’, Tumbuhan Spesies Unik Ditemukan Dalam Hutan
Hutan merupakan antara kawasan semula jadi yang paling indah di dunia dan menjadi tempat tinggal beribu-ribu spesies tumbuhan serta haiwan.
Selain itu, hutan juga menyimpan seribu satu misteri yang kadang kala tidak dapat diterangkan secara logik.
Justeru, apabila berada di hutan, kita perlu sentiasa berhati-hati sepanjang melangkah kerana bimbang terpijak tumbuhan istimewa yang hidup di atas tanah.
Terutamanya tumbuhan halus seperti tanglung pari-pari (fairy lantern) dengan nama saintifik Thismia Perlisensis yang ditemui pada tahun 2021.
Untuk mengetahui lanjut mengenai tumbuhan ini, ikuti perkongsian oleh Perlis Nature Xplorer yang aktif menjalankan usaha pemeliharaan terhadap spesies flora dan fauna.
Spesis baharu dari Perlis; Thismia Perlisensis (Tanglung Pari-Pari/Fairy Lantern)
Genap dua tahun selepas Ekspedisi Kepelbagaian Biologi Hutan Simpan Kekal Bukit Bintang pada tahun 2022, akhirnya penemuan spesis tumbuhan berbunga dinamakan tanglung pari-pari berjaya disahkan sebagai spesis baharu Malaysia yang endemik di Perlis setakat ini.
Ia ditemui oleh kumpulan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia diketuai oleh Dr. Edward Entalai Anak Besi penyelidik Jabatan Biologi Fakulti Sains UPM bersama pasukannya dengan NGO tempatan PNX dan diiringi oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 2 semasa ekspedisi tersebut.
Spesis tanglung pari-pari di Perlis ini yang dinamakan sebagai Thismia perlisensis bersempena nama negeri Perlis merupakan spesis yang wujud di persekitaran hutan dipterokarpa paling utara di semenanjung Malaysia selepas negeri Perak dan paling banyak ditemui di Terengganu sebagai endemik.
Thismia merupakan tumbuhan yang menyerupai kulat tetapi bukan berasal dari kelompok tersebut sebaliknya ia mempunyai simbiosis dengannya bagi tujuan kitaran hidup (Dome)
Manakala menerusi hantaran Dome Nikong, thismia atau Tanglung pari-pari merupakan tumbuhan unik yang mendiami lantai hutan belantara. Ianya tidak berklorofil lantas tidak menjalankan proses fotosintesis seperti tumbuhan hijau yang lain.
Thismia adalah tumbuhan berbunga (angiosperma-flowering plant). Thismia bukanlah dalam kelompok kulat (fungi) tetapi mempunyai simbiosis dengannya bagi tujuan kitaran hidup.
Terdapat 20 spesies Thismia di Semenanjung Malaysia yang mana 12 spesies daripadanya boleh ditemui di Terengganu.
Sepanjang tahun 2018 hingga 2023 sebanyak 8 spesies baharu Thismia telah dihuraikan iaitu Thismia kelantanensis(2018), Thismia terengganuensis(2019), Thismia domei(2019), Thismia sitimeriamiae(2021), Thismia belumensis(2021), Thismia latiffiana(2022), Thismia limkokthayi(2022) dan Thismia kenyirensis(2023).
Dalam beberapa tahun terkini, empat rekod baharu telah dicatatkan. Dua spesies yang dihuraikan dari Thailand iaitu Thismia brunneomitroides dan Thismia clavigeroides, serta Thismia ornata yang dihuraikan dari Sarawak juga telah ditemui di Semenanjung Malaysia, dan termasuk penemuan kembali Thismia arachnites selepas 116 tahun di luar lokasi asal (Perak) iaitu di Negeri Terengganu.
BACA: Penduduk Kongsi Keadaan Jalan Rosak Teruk Selepas Dilanda Banjir
Sumber: Perlis Nature Xplorer via Facebook