Zakat merupakan salah satu rukun Islam yang wajib dilaksanakan jika sudah memenuhi segala syarat-syarat yang ditetapkan. Ia terbahagi kepada dua iaitu zakat fitrah dan zakat harta.
Menurut Zakat Selangor, seseorang Muslim yang mengingkari kefardhuan zakat boleh mengakibatkannya murtad. Manakala individu Muslim yang meninggalkan zakat tanpa mengingkari kewajipannya adalah berdosa besar.
Hikmah kewujudan zakat ini adalah bagi mengagihkan sebahagian kecil kekayaan daripada golongan yang kurang berada, membersihkan diri pembayar zakat, mewujudkan kesatuan dalam kalangan masyarakat Islam berkaitan urusan ekonomi dan kewangan dan melahirkan rasa tenang dan tenteram dalam hati serta jiwa mereka.
Bagi yang belum tahu, terdapat lapan golongan yang layak untuk mendapatkan zakat.
Menerusi perkongsian Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan di portalnya, berikut lapan golongan penerima zakat yang perlu anda tahu.
1. Fakir
Seseorang yang tidak mempunyai apa-apa harta atau pekerjaan atau menerima pendapatan dari sumber-sumber lain yang jumlahnya tidak sampai 50 peratus daripada keperluan harian dan keperluan tanggungannya dan tidak sampai 50 peratus daripada belanja hidup seseorang yang hidup sederhana dan orang-orang tanggungan.
2. Miskin
Seseorang yang mempunyai pekerjaan atau hasil usaha yang hanya memenuhi sebahagian keperluan asasinya tetapi tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian dan juga menampung orang-orang tanggungannya.
3. Amil
Mereka yang terlibat secara langsung dengan institusi zakat samada individu atau organisasi bagi mengurus dan mentadbir hal ehwal zakat termasuk pemungutan, agihan, urusan kewangan dan sebagainya.
4. Muallaf
Mereka yang dijinakkan hatinya atau mereka yang diharapkan kecenderungan hatinya untuk menerima Islam atau yang memeluk Islam (tetapi belum kukuh Islamnya) ianya dibahagi kepada dua iaitu:
a) Beragama Islam
Baru memeluk agama Islam
Ketua-ketua kaum Islam yang baik hubungan dengan ketua-ketua bukan Islam yang sejawatan atau sama taraf dengannya.
Ketua-ketua kaum Islam yang masih lemah iman tetapi masih ditaati oleh orang- orang di bawah pimpinannya.
Orang-orang Islam yang tinggal di perbatasan yang berhampiran dengan negara musuh.
b) Bukan beragama Islam
Boleh dipujuk supaya masuk Islam.
Boleh dipujuk supaya tidak merbahaya kepada orang Islam.
5. Al-Riqab
Memerdekakan orang-orang Islam daripada cengkaman perhambaan dan penaklukan samada dari segi cengkaman fizikal atau mental seperti cengkaman kejahilan dan terbelenggu di bawah kawalan orang-orang tertentu.
6. Al-Gharimin
Golongan yang berhutang untuk memenuhi keperluan asas bagi kemaslahatan diri, keluarga tanggungannya atau masyarakat yang memerlukan penyelesaian segera dan dibenarkan oleh hukum syarak.
7. Fisabilillah
Mana-mana orang atau pihak yamg melibatkan diri dalam suatu aktiviti atau aktiviti menegak, mempertahankan dan mendakwahkan agama Islam serta kebajikannya.
8. Ibnu Sabil
Mana-mana orang dalam perjalanan bagi maksud-maksud yang diluluskan oleh syarak dari mana-mana negeri atau negara yang memerlukan bantuan
Sumber: PPZ MAIWP