GEORGE TOWN, 1 Dis (Bernama) — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang dalam usaha mengumpul maklumat daripada pihak pemborong dan pembekal di negeri ini susulan kenaikan harga sayur-sayuran secara mendadak kebelakangan ini.
Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata pihaknya akan menyerahkan hasil laporan dan maklumat yang diperoleh daripada kedua-dua pihak tersebut kepada kementerian untuk tindakan lanjut dalam masa terdekat.
“KPDNHEP Pulau Pinang telah melakukan libat urus bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan lain-lain agensi berhubung isu kenaikan harga sayur bagi mencari solusi terbaik kepada semua pihak,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Pemeriksaan Ops Pasar (Sayur 2) Dan Ops Menu di sini, hari ini.
Beliau berkata dari segi penglibatan orang tengah, pihaknya akan menilai maklumat yang dikemukakan oleh pihak pembekal dan pemborong bagi melihat sama ada kenaikan harga bahan mentah itu patut berlaku atau sebaliknya.
“Selain itu, terdapat juga faktor peruncit kecil di pasar awam yang tidak mempunyai modal besar untuk membeli bekalan dalam kuantiti banyak berbanding (pemborong) pasar raya. Jadi, mungkin akan berlaku sedikit kenaikan seperti yang berlaku sekarang ini,” katanya.
Semalam, Bernama melaporkan dakwaan daripada pekebun terdapat pihak tertentu yang mengambil kesempatan menaikkan harga sayur sehingga harganya melambung tinggi ketika ini, sedangkan pekebun menjualnya pada harga biasa sahaja kepada pemborong atau orang tengah.
Sementara itu, Mohd Ridzuan berkata pihaknya telah menjalankan 100 pemeriksaan ke atas premis perniagaan sekitar negeri ini dan mengeluarkan 20 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPBM) serta 10 Notis Bertulis (NB) di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Anti Percatutan (AKHAP) 2011 bagi mendapatkan maklumat harga sayur.
“Peniaga perlu mengemukakan maklum balas NPBM dan NB dalam tempoh dua hingga lima hari daripada tarikh penerimaan notis. Pemeriksaan berterusan bagi Ops Menu telah menghasilkan dua kes dengan nilai kompaun RM500 daripada 372 pemeriksaan restoran dan kedai makan bagi pematuhan penandaan harga dan tempoh sah penentusahan alat timbang dan sukat,” katanya.
Menurutnya, antara sayur yang mengalami kenaikan harga adalah kacang buncis iaitu kenaikan sebanyak 100 peratus, kailan (42 peratus), kubis bunga dan terung bulat masing-masing naik 60 peratus.
Bagaimanpun katanya, terdapat sayur yang menunjukkan penurunan harga antaranya tomato, brokoli, timun, terung panjang dan cili hijau.
Sumber: Bernama