strategi malaysia china as
Kredit: Perpustakaan Negara Malaysia

“Kena Bijak Macam Kancil,” Profesor Dedah Strategi Malaysia Bila China & AS ‘Bergaduh’

Azizah Najib

“Kena Bijak Macam Kancil,” Profesor Dedah Strategi Malaysia Bila China & AS ‘Bergaduh’

Selepas kemenangannya dalam pilihan raya presiden AS dan pelantikan semula pada Januari 2025, Presiden Donald Trump segera mengumumkan dasar tarif baharu. Langkah ini, menurut beliau, adalah tindak balas terhadap defisit perdagangan terbesar dalam sejarah Amerika yang direkodkan pada 2024. Dengan tarif baharu setinggi 145% terhadap barangan dari China dan 10% ke atas hampir semua negara lain, dasar proteksionis “America First” kini kembali menjadi nadi dasar luaran AS. Tindakan ini mencetuskan reaksi balas daripada China dan Kesatuan Eropah, dan sekaligus menimbulkan ketegangan baharu dalam sistem perdagangan global.

Malaysia di tengah-tengah perang tarif dunia

Malaysia, sebagai negara perdagangan terbuka dan berkedudukan strategik di tengah-tengah Asia Tenggara, tidak terlepas daripada impak konflik ini. Sejarah kita dalam mengamalkan dasar berkecuali, seperti yang diasaskan menerusi ZOPFAN oleh Tun Abdul Razak dan diteruskan dalam kerangka Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), menjadi asas kepada pendekatan diplomasi Malaysia hari ini. Pendekatan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta Menteri MITI Tengku Zafrul setakat ini dilihat berhati-hati namun proaktif, dengan rundingan dua hala diteruskan secara tertutup bagi memastikan Malaysia kekal relevan dalam pasaran antarabangsa, terutamanya dengan Amerika Syarikat.

Bagaimana Malaysia terjejas?

Namun, tarif baharu AS tetap memberi tekanan. Malaysia dikenakan tarif setinggi 24% pada awal 2025 sebelum diselaraskan semula kepada 10%, satu kadar yang masih dianggap tinggi. Tambahan pula, terdapat empat syarat utama yang diletakkan oleh AS, termasuk pengurusan defisit perdagangan, keperluan memenuhi piawaian bukan tarif seperti pensijilan halal, perlindungan terhadap teknologi Amerika, dan usaha untuk menyeimbangkan perdagangan dua hala. Paling terkesan ialah sektor elektronik. Ironinya, 80% barangan elektronik Malaysia yang dieksport ke AS adalah hasil kilang milik firma-firma Amerika sendiri yang beroperasi di sini menjadikan dasar tarif tersebut sukar untuk dipertahankan dari sudut ekonomi semata-mata.

Amaran Profesor Rajah: Krisis baru sedang tiba?

Profesor Ulung Dr. Rajah, seorang tokoh akademik berwibawa dalam bidang ekonomi dan dasar antarabangsa, memberi amaran bahawa dasar-dasar ini boleh membawa kesan besar terhadap ekonomi global. Antaranya termasuk inflasi import di AS yang akan meningkatkan kos sara hidup rakyatnya, risiko resesi jika kadar faedah dinaikkan oleh Federal Reserve untuk menangani inflasi, dan kemungkinan berlakunya stagflasi, keadaan di mana inflasi dan pengangguran berlaku serentak, satu kombinasi yang sukar ditangani melalui dasar monetari konvensional.

Malaysia perlu strategi kepelbagaian baharu

Dalam menghadapi tekanan ini, Malaysia tidak wajar bergantung sepenuhnya kepada pasaran AS. Sejak krisis kewangan global 2008–2009, kita telah memulakan langkah mempelbagaikan pasaran eksport. Kini, China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia. Selain itu, penyertaan Malaysia dalam BRICS menawarkan peluang baharu, bukan sahaja dari segi pembiayaan pembangunan, malah dari sudut pengurangan kebergantungan kepada dolar AS melalui urus niaga dalam mata wang alternatif. Strategi ini telah lama diamalkan oleh China, yang berjaya melebarkan pasaran eksport ke negara-negara seperti Brazil dan Afrika Selatan.

Malaysia juga perlu memperkukuh kerjasama serantau, terutamanya dalam ASEAN. Melalui AFTA dan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), peluang perdagangan intra-ASEAN wajar dimaksimumkan. Peraturan “40% nilai tambah kumulatif” membolehkan firma yang beroperasi di rantau ini menikmati pengecualian cukai jika memenuhi syarat tersebut. Ini membuka ruang besar kepada syarikat-syarikat asing untuk memilih Malaysia sebagai pangkalan operasi, seperti yang dilakukan oleh syarikat Vale dari Brazil di Lumut.

Kita mampu jadi hab pengeluaran Asia

Dalam masa yang sama, kerajaan perlu mempercepatkan reformasi ekonomi dalaman. Sejak penubuhan MSC dan penubuhan agensi seperti MDEC dan MTDC pada 1991, pelbagai usaha telah digerakkan untuk membawa Malaysia ke dalam industri teknologi tinggi. Namun, hasilnya masih belum memuaskan. Singapura misalnya, telah berjaya melakukan transformasi ini dan kini menjadi negara terkaya di Asia dari segi pendapatan per kapita mencecah USD 85,000 berbanding Malaysia hanya sekitar USD 11,700. Pendapatan median isi rumah di Malaysia pada 2023 masih rendah iaitu sekitar RM2,600, jauh dari sasaran RM4,510 menjelang 2030 yang ditetapkan oleh Dasar Perindustrian Baharu (NIMP 4.0).

Lebih membimbangkan, kadar upah dalam KDNK kita hanya sekitar 32%, berbanding 40% di Singapura. Ini menunjukkan faedah pertumbuhan ekonomi tidak dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat pekerja. Untuk bergerak maju, kita perlu mempercepatkan penerapan teknologi tinggi dalam pelbagai sektor, termasuk pertanian dan perikanan, seperti yang dilakukan oleh Taiwan yang memberikan subsidi kepada petani dan nelayan agar mereka boleh membuktikan bahawa teknologi meningkatkan hasil dan bukan sekadar beban kos.

Antara gajah dan kancil di pentas perdagangan dunia

Pada akhirnya, Profesor Rajah menegaskan bahawa hubungan dagang Malaysia dengan AS adalah hubungan tidak seimbang ibarat “gajah dengan kancil.” Namun begitu, seperti dalam hikayat lama, kancil yang bijak mampu terus hidup dan bahkan memanfaatkan peluang yang muncul daripada pergolakan di sekelilingnya. Malaysia perlu terus berwaspada, tetapi juga bijak mengambil peluang di tengah-tengah peralihan kuasa ekonomi dunia ke arah Asia dan Selatan Global.

Disokong oleh Perpustakaan Negara Malaysia

Artikel ini diilhamkan daripada forum Bicara Eksekutif 2025 anjuran tahunan Perpustakaan Negara Malaysia, yang mengetengahkan isu-isu semasa seperti tarif global dan impaknya kepada ekonomi Malaysia. Program ini menghimpunkan tokoh akademik, pembuat dasar dan penggiat industri untuk berdiskusi secara terbuka tentang masa depan negara dalam konteks global.

Tonton rakaman penuh Bicara Eksekutif 2025 di Facebook Live atau YouTube Live.

Sebagai makluman, Perpustakaan Negara Malaysia juga menyediakan Perkhidmatan Malaysiana, sebuah pusat rujukan komprehensif mengenai maklumat berkenaan Malaysia dan penduduknya. Koleksi Monograf Malaysiana menghimpunkan hasil karya tempatan dalam pelbagai bahasa dan tempoh penerbitan, menjadikannya rujukan penting untuk penyelidik, penulis dan orang awam. Perkhidmatan ini bertujuan memastikan maklumat yang diperlukan dapat diakses dengan mudah dan berkualiti.

BACA: Saintis Cipta Sejarah, Pertama Kali Berjaya Ubah Plumbum Jadi Emas

BACA: Kait Saiz Jeans Dengan Risiko Mati Awal, Menteri Indonesia Akui Salah Cakap