Kembara Kenali Borneo: Agong, Permaisuri Sukacita Sempurnakan Impian Dekati Rakyat Sabah & Sarawak
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa sukacita syukacita dan syukur kerana dapat menyempurnakan impian mendekati rakyat Sabah dan Sarawak menerusi program Kembara Kenali Borneo yang berakhir semalam.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Mej Jen Datuk Zahari Mohd Ariffin berkata baginda berdua amat terharu dan tersentuh dengan semangat dan kasih rakyat yang dizahirkan di sepanjang jalan raya lokasi pengembaraan tanpa mengira penat lelah, ketika lewat malam serta keadaan cuaca panas terik dan hujan lebat.
“Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Sabah dan Sarawak atas sambutan sangat hebat yang telah diberikan kepada baginda berdua dan keluarga sepanjang pengembaraan menelusuri Lebuhraya Pan Borneo,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah juga menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Kerajaan Sabah dan Sarawak atas segala bantuan dalam menjayakan program tersebut.
Dalam pada itu, Zahari Mohd Ariffin berkata program tersebut telah memberi peluang kepda baginda berdua mengeratkan lagi silaturahim antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak serta merealisasi semangat ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’.
“Sesungguhnya, segala pengalaman menyaksikan manifestasi kasih rakyat, semangat perpaduan, kepelbagaian budaya serta etnik dan keindahan lanskap semula jadi di kedua-dua negeri terpahat di hati Seri Paduka Baginda berdua dan sekeluarga sebagai kenangan manis yang tidak akan dilupakan,” ujarnya.
Al-Sultan dan Tunku Azizah juga menitipkan doa semoga rakyat Sabah dan Sarawak dilindungi serta dipelihara oleh Allah dan agar negeri tersebut kekal makmur, maju jaya dengan rakyatnya yang hidup dengan semangat perpaduan, aman dan sentosa.
Program Kembara Kenali Borneo yang diadakan julung kali bermula di Tawau, Sabah pada 3 September lalu telah melabuhkan tirai di Telok Melano, Sematan, Sarawak semalam.
Program yang telah mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat Sabah dan Sarawak telah melibatkan perjalanan sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.
Sumber: Istana Negara