PUTRAJAYA, 19 Mac – Kes kematian melibatkan seorang jururawat Hospital Pulau Pinang berusia 45 tahun pada tengah malam 17 Mac kelmarin bukanlah disebabkan suntikan vaksin COVID-19.
Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr. Asmayani Khalib sebaliknya berkata, kematiannya adalah disebabkan komplikasi serangan jantung yang berlaku pada tengah malam tersebut.
“Pada tengah malam 17 Mac 2021, suami beliau mendapati beliau tidak sedar diri dan telah menghubungi Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani dengan kadar segera. Arwah kemudiannya telah disahkan meninggal dunia di hospital.
“Hasil bedah siasat menunjukkan sebab kematian adalah disebabkan serangan jantung dan tiada tanda-tanda anafilaksis atau reaksi alergi. Oleh itu, kematian ini tidak berkaitan dengan vaksinasi COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum itu, jururawat tersebut dilapor telah menjalani suntikan vaksin COVID-19 (jenis Comirnaty) pada 12 Mac, iaitu kira-kira lima hari sebelumnya.
Manakala untuk rekod, jururawat tersebut dikesan tidak mempunyai sebarang kontraindikasi dan pemerhatian selepas vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) menunjukkan keadaannya stabil.
“(Ketika itu) pegawai (jururawat) hanya mengadu lenguh pada tempat suntikan iaitu pada tangan kiri selepas suntikan, namun telah dapat bekerja seperti biasa mengikut shif kerja di hospital.
“Namun begitu, beliau yang sememangnya mempunyai komorbiditi penyakit darah tinggi kronik telah mengadu kepada suami bahawa beliau tidak selesa bernafas pada 16 Mac berikutnya, tetapi tidak mendapatkan sebarang rawatan perubatan atau melaporkannya kepada pasukan PPV (ketika itu),” tambahnya lagi.
Sehubungan itu, orang awam diseru untuk tidak menularkan maklumat tidak tepat dan tidak sahih bagi mengelakkan salah tanggapan masyarakat terhadap vaksin COVID-19.

Sumber: Jabatan Kesihatan Pulau Pinang