Satu kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan dilaporkan berlaku di Kilometer (km) 17.1 Lebuh Raya Persekutuan di Shah Alam pada awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata maklumat kejadian berlaku awal pagi itu diterima pada sekitar 6 pagi oleh Bahagian Pengkuatkuasaan Trafik IPD Shah Alam.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa kenderaan jenis Vios yang memandu di lorong tengah tiba-tiba telah dilanggar oleh kenderaan jenis Range Rover pada bahagian tepi sebelah kiri.
“Pelanggaran itu menyebabkan kenderaan Vios bergerak ke lorong kanan dan melanggar pembahagi jalan di sebelah kanan manakala Range Rover itu berpusing ke sebelah kiri jalan raya,” ujar Mohd Iqbal semalam.
Bagaimanapun Mohd Iqbal berkata kemalangan berlarutan apabila satu lagi kenderaan lain datang dari arah belakang menuju ke lokasi kejadian.
“Sebuah kenderaan jenis Bezza yang datang dari belakang tidak sempat mengelak telah terlanggar bahagian belakang Vios,” tambahnya lagi.
Difahamkan beberapa mangsa yang terbabit dihantar ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut.
Sehubungan itu kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca-punca kemalangan berlaku.
Menurut Mohd Iqbal, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan yang dijalankan.
“Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Shah Alam, Inspektor Muhammad Hasrul Suhiami di talian 011-31215697,” katanya dalam kenyataan itu.
Sumber: Facebook / Polis IPD Shah Alam