the family uk fatimah
Kredit: The Family UK

Muncul Ketulan Baharu, “The Family UK” Mohon Orang Ramai Doakan Fatimah

Azizah Najib

Muncul Ketulan Baharu, “The Family UK” Mohon Orang Ramai Doakan Fatimah

Pernah menggemparkan dunia maya dengan keadaan kesihatan yang merudum secara tiba-tiba, pempengaruh cilik The Family UK, Fatimah telah menunjukkan keadaan kesihatan yang memberangsangkan sebelum ini.

Namun, kesihatan Fatimah kini kembali merudum. Sekali lagi, berita duka tentang keadaan kesihatan terkini Fatimah disampaikan oleh keluarga menerusi muat naik di laman TikTok.

Ibu pempengaruh cilik itu mendapati terdapat ketulan baharu yang muncul pada 26 Februari yang lalu.

“Kali pertama Fatimah ada ketulan di samping simptom-simptom lain ialah tahun lepas, awal bulan Mac 2024. Sekarang umpama kitaran tu berulang kembali,” kongsi ibunya.

Menerusi luahan tersebut, ibu pempengaruh itu cuba sedaya upaya untuk kekal bertenang apabila Fatimah mula memasuki episod yang kembali berulang pada Disember lalu.

“Namun sebaik sahaja saya nampak betapa sedih dan takutnya dia hari ini, saya tak dapat bendung lagi. Jantung saya berdegup kencang. Seluruh tubuh saya menggeletar. Lutut terasa begitu lemah.

“Ya, saya tahu saya perlu kekal tenang dan menjadi kuat demi dia tetapi jauh di sudut hati, segalanya hancur berderai,” luah wanita berkenaan.

Dalam pada itu, ibu kepada pempengaruh cilik itu turut memohon doa daripada orang ramai buat Fatimah.

Bercakap berkenaan penyakit yang dihidapi Fatimah, ahli keluarganya menafikan kerahsiaan

Berkenaan keadaan kesihatan Fatimah, ramai yang tertanya-tanya tentang penyakit yang dihidapinya. Bagi mengelakkan sebarang spekulasi, ibu pempengaruh tersebut tampil memberi penjelasan di bahagian komen beberapa hari yang lalu.

“Ia bukan ketulan, rupanya bengkak. Berbeza dengan ketulan. Dia hidapi pelbagai penyakit. Sebab itu simptom pun banyak.

“Bukan berahsia cuma penjelasannya terlalu panjang dan rumit,” jelas ibunya.

Terbaru, ibu kanak-kanak tersebut berkongsi kesedihan yang dirasai Fatimah apabila tidak dapat turut sama bapa dan adik-beradiknya menjalankan ibadah tarawih di masjid.

“Melihat wajahnya yang sugul, saya mengingatkan dia yang kami sudah cukup beruntung dapat menyambut bulan Ramadan kali ini dengan penuh selesa di rumah berbanding di hospital seperti tahun lalu.

“Dia cuma berdiam diri dan tanpa berkata apa-apa, dia pakai telekung untuk solat bersama saya,” kongsi wanita tersebut.

Hiba menjengah apabila Fatimah mula membaca al-Quran dengan linangan air mata di pipinya. Namun, menurut ibunya, air mata tidak mampu menghalang Fatimah daripada meneruskan bacaan al-Quran.

“Dia luangkan hampir dua jam baca al-Quran perlahan-lahan sambil berbaring.

“Sebaik sahaja dia selesai, saya ucapkan terima kasih kepada Fatimah kerana memulakan Ramadan kali ini sebagai peneman saya membaca al-Quran. Saya tahu dia memang impikan untuk menjadi Rakan Quran Ramadan saya seperti Lalajee. Jadi, saya hargai usaha dia dengan menunjukkan kasih sayang dan penghargaan saya agar dapat buatkan dia rasa lebih baik (walaupun dia sendiri bergelut untuk pujuk hatinya),” tambahnya.

BACA: “The Family UK” Akhirnya Kongsi Perkembangan Terkini Fatimah

BACA: Keputusan Biopsi Kedua Fatimah ‘The Family UK’ Diketahui 10 Hingga 14 Hari – Ibu

Sumber: The Family UK