KUALA LUMPUR, 8 Nov – Keluarga kepada mangsa nahas helikopter di Taman Melawati, Ampang, Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, 41, mendapat perkhabaran berita sedih melibatkan anak keempat dari 10 beradik itu, daripada kumpulan Whatsapp.
Abang sulung mangsa Dr Mohd Izani Mohd Rawi berkata beliau terus menghubungi pengirim Whatsapp berkenaan sekitar 12 tengah hari, kerana seakan-akan mengenali susuk tubuh mangsa terlibat kemalangan itu.
“Dalam gambar (yang dikongsi) itu, saya cam tangan dan jam dia.
“Mak ayah sudah maklum akan kejadian ini dan dua orang adik saya dalam perjalanan. Setakat ini kita tak tahu sama ada (jenazah) akan dihantar ke sini atau tidak, belum ada maklumat rasmi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di hadapan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Hari ini, dua lelaki disahkan maut dalam nahas melibatkan dua helikopter yang dipercayai bertembung di udara sebelum sebuah daripadanya terhempas, dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari tadi di Taman Melawati, Ampang dekat sini.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Mohamed Sabri Baharom, 56, beralamat di Wangsa Melawati, di sini dan Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, 41, beralamat di Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.
— BERNAMA