Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden pada Khamis, menggesa rakyatnya untuk meninggalkan Ukraine dengan kadar segera.
Beliau turut memberi amaran kemungkinan akan berlaku konflik besar dengan Moscow sekiranya berlaku pertempuran di antara Amerika Syarikat dan Russia kerana kekuatan kedua-dua negara ini berada di dalam ‘dunia’ yang berbeza.
“Rakyat Amerika harus keluar dan tinggalkan Ukraine sekarang,” tegas Biden dalam satu temuramah bersama media NBC.
Jelasnya lagi, pihaknya ketika ini bukan sedang berurusan dengan organisasi pengganas. Tetapi negara tersebut sedang berdepan dengan kuasa besar dengan salah satu angkatan tentera terbesar di dunia. Ini merupakan situasi yang sangat berbeza dan apa-apa boleh berlaku dengan pantas.
Dalam bual bicara tersebut, Biden menegaskan bahawa beliau tidak akan menghantar tentera Amerika ke Ukraine walaupun untuk tujuan menyelamatkan rakyatnya di sana sekiranya berlaku pencerobohan oleh Rusia.
”Perang dunia akan meletus jika Amerika dan Rusia mula menembak antara satu sama lain,” katanya.
Berdasarkan penilaian ketenteraan dan perisikan Amerika Syarikat, tentera Rusia berupaya untuk membuat pencerobohan berskala penuh dan berpotensi hingga ke ibu negara, Kyev dalam masa 48 jam.
Biden berkata jika Presiden Russia, Vladmir Putin nekad untuk menyerang Ukraine, diharap dia cukup bijak untuk tidak melakukan apa-apa yang boleh memberikan kesan negatif kepada rakyat Amerika.
“Hal ini tidak perlu dijelaskan padanya kerana saya yakin dia pun sudah tahu,” jelas Biden.
Sumber: NBC