Dalam pertuturan seharian, mesti kita akan gunakan perkataan ‘ialah’ dan ‘adalah’ dengan kerap, kan?
Tapi perasan tak, kadang-kadang kita sendiri keliru nak gunakan yang mana satu, ‘ialah’ ke ‘adalah’ sebab kedua-duanya seakan sama bunyi dan fungsinya.
Jangan keliru lagi. Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) ada memberi penjelasan tentang kekeliruan ini.
Apa itu ‘ialah’?
Menurut DBP, kata pemeri ‘ialah’ digunakan dalam ayat yang berpola frasa nama + frasa nama.
Pendek kata, kata pemeri ‘ialah’ digunakan sebelum kata nama atau frasa nama. Sebagai contoh:
Samsuri ialah rakan karib saya.
Beliau ialah ketua murid di sekolah ini.
Makanan utama rakyat Malaysia ialah beras.
Demam denggi ialah penyakit yang dibawah oleh nyamuk Aedes.
Apa itu ‘adalah’?
Sementara itu, kata pemeri ‘adalah’ pula digunakan dalam ayat yang berpola frasa nama + nama adjektif dan frasa nama + frasa sendi nama.
Kata pemeri ‘adalah’ tidak boleh diikuti oleh frasa kerja dan frasa nama. Sebagai contoh:
Perlawanan pada malam itu adalah sangat penting.
Hadiah itu adalah untuk tetamu istimewa pada malam ini.
Dewan yang akan dibina itu adalah untuk keguinaan penduduk.
Tarikh kejohanan olahraga sekolah kita adalah pada 25 Mac tahun ini.
Semoga bermanfaat.
Sumber: Twitter DBP