Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa terdapat kelebihan-kelebihan semasa Hari Arafah yang termasuk dalam rukun haji. Nama Arafah sendiri sebenarnya berasal daripada sebuah bukit yang terletak di tenggara kota suci Mekah iaitu Bukit Arafah.
Bukit ini mencapai ketinggian sekitar 70 meter dan dikenali sebagai ‘Bukit Rahmat’ iaitu (Jabal ar-Rahmah) Jadi apa kaitan antara Hari Arafah dengan bukit tersebut? Pada 9 Zulhijah dalam kalendar Islam, jemaah haji akan bergerak dari Mina ke Bukit Arafah dan peristiwa itu di panggil ‘Hari Arafah’.
Di samping itu, seluruh umat islam di muka bumi juga boleh menerima manfaat daripada hari ini. Untuk mengulas dengan lebih lanjut, mari kita ikuti perkongsian yang dibawakan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
KELEBIHAN-KELEBIHAN HARI ARAFAH
Soalan: Apakah kelebihan-kelebihan hari Arafah?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Memandangkan kita akan menyambut hari raya Aidiladha dan juga hari Arafah, maka Irsyad al-Hadith pada kali ini akan membicarakan berkaitan beberapa kelebihan hari Arafah sebagaimana yang disebut di dalam hadith Nabi SAW.
Kelebihan-Kelebihan hari Arafah
Antara kelebihan-kelebihannya adalah:
Pertama: Hari Arafah adalah rukun daripada haji.
الحَجُّ عَرَفَةُ
Maksudnya: “Haji adalah Arafah”.
Kedua: Hari Arafah adalah hari di mana agama ini telah sempurna.
يَا أَمِيرَ المُؤْمِنِينَ، آيَةٌ فِي كِتَابِكُمْ تَقْرَءُونَهَا، لَوْ عَلَيْنَا مَعْشَرَ اليَهُودِ نَزَلَتْ، لاَتَّخَذْنَا ذَلِكَ اليَوْمَ عِيدًا. قَالَ: أَيُّ آيَةٍ؟ قَالَ: “اليَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينًا” قَالَ عُمَرُ: قَدْ عَرَفْنَا ذَلِكَ اليَوْمَ، وَالمَكَانَ الَّذِي نَزَلَتْ فِيهِ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَهُوَ قَائِمٌ بِعَرَفَةَ يَوْمَ جُمُعَةٍ
Maksudnya: “Wahai Amir al-Mukminin, satu ayat di dalam kitab kamu (al-Quran) yang kamu membacanya. Jika ia ke atas kami sekalian bangsa Yahudi maka kami akan mengambil hari tersebut sebagai perayaan. Umar bertanya: Apakah ayat itu? Dia berkata: “Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu”. Umar berkata: Kami telah ketahui hari tersebut dan tempat turun ayat tersebut ke atas Nabi SAW ketika baginda SAW berdiri di Arafah pada hari Jumaat”.
Ketiga: Hari Arafah adalah hari raya buat umat Islam.
يَوْمُ عَرَفَةَ، وَيَوْمُ النَّحْرِ، وَأَيَّامُ التَّشْرِيقِ عِيدُنَا أَهْلَ الْإِسْلَامِ، وَهِيَ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ
Maksudnya: “Hari Arafah, hari Korban serta hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah) adalah hari raya kita orang Islam dan ia adalah hari makan dan minum”.
Keempat: Hari Arafah adalah hari Penyaksian.
اليَوْمُ المَوْعُودُ يَوْمُ القِيَامَةِ، وَاليَوْمُ المَشْهُودُ يَوْمُ عَرَفَةَ، وَالشَّاهِدُ يَوْمُ الجُمُعَةِ
Maksudnya: “Hari yang dijanjikan adalah hari Kiamat, hari Mayshud adalah hari Arafah serta al-Syahid adalah hari Jumaat”.
Kelima: Kebesaran berdoa di hari Arafah.
Daripada Abdullah bin ‘Amr, bahawa Nabi SAW bersabda:
خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ
Maksudnya: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah”.
Keenam: Puasa pada hari tersebut menghapuskan dosa setahun sebelum dan selepas.
يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ
Maksudnya: “Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang”.
Ketujuh: Hari keampunan dan pelepasan dari api neraka.
مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ، مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ
Maksudnya: “Tidak ada satu hari yang lebih banyak dibebaskan hamba-Nya daripada api neraka melainkan pada hari Arafah”.
Penutup
Kesimpulannya, hari Arafah adalah satu hari yang istimewa sebagaimana bulan Zulhijjah juga sebagaimana yang kami nyatakan sebelum daripada ini akan kelebihan bulan Zulhijjah.
Oleh itu, kita sebagai umat Islam haruslah merebut peluang dan kesempatan ini agar kita tidak termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita taufik dan hidayah dalam melaksanakan setiap amalan yang dilakukan.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan