Gambar sekadar hiasan - Bernama

Kelantan Setuju Majlis Akad Nikah Dihadiri 20 Orang

Sha Rossa

KOTA BHARU, 15 Feb (Bernama) — Kerajaan Kelantan hari ini bersetuju untuk memberi kelonggaran membenarkan majlis akad nikah dihadiri 20 individu ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbanding tujuh orang sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Dr Izani Husin berkata perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) yang dipengerusikan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

“Kita putuskan beri kelonggaran melibatkan 20 orang iaitu 10 orang sebelah pengantin perempuan dan selebihnya pengantin lelaki. Bagaimanapun, kenduri perkahwinan masih tidak dibenarkan. Perkara ini, akan dimaklumkan kepada JAHEAIK (Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan) untuk kelulusan dalam waktu terdekat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat berkenaan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai perkembangan kluster Pangkal Changgong yang turut melibatkan 41 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah sekolah asrama di Machang yang disahkan positif COVID-19, semalam, Dr Izani berkata setakat ini, jumlah kumulatif kluster berkenaan ialah sebanyak 64 kes.

“Seramai 259 individu dikesan sebagai kontak rapat kepada mereka yang positif COVID-19 dalam kluster ini dan telah menjalani ujian saringan,” katanya.

Sementara itu, mengulas bekalan vaksin COVID-19 yang akan diterima Malaysia pada hujung bulan ini, Dr Izani berkata anggota barisan hadapan seperti petugas kesihatan dan penguat kuasa di negeri ini merupakan antara yang terawal akan menerima suntikan vaksin wabak berkenaan.

— BERNAMA