Sebuah kelab bola sepak di Arab Saudi dilapor bersedia ‘pikat’ bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo dengan nilai perpindahan berjumlah RM1.31 bilion, lapor Daily Mail.
Menurut CNN Portugal menerusi Daily Mail, kelab berkenaan membuat tawaran ‘mega’ sedemikian bagi mendapatkan pemain tersebut yang kini sedang mencari kelab baharu untuk musim depan.
Nilai perpindahannya dikhabarkan berjumlah kira-kira RM133.5 juta, manakala RM551 juta pula dibayar untuk tempoh dua musim selanjutnya.
Tidak cukup dengan itu, malah ejennya, Jorge Mendes juga dilapor turut menerima bayaran sebanyak RM105 juta.
Menurut Daily Mail, angka kos yang berjumlah RM1.31 bilion tersebut menjadikannya sebagai nilai perpindahan terbesar dalam sejarah bola sepak dunia setakat ini.
Sebelum ini, Ronaldo telah dikaitkan dengan spekulasi perpindahannya ke Bayern Munich dan Chelsea sehingga musim panas ini.
Tambahan pula, ketua baharu The Blues, Todd Boehly telah bertemu dengan ejen Ronaldo, Jorge Mendes.
Bagaimanapun, perkara itu telah dinafikan oleh pengendali Manchester United, Erik Ten Hag bahawa Ronaldo dalam perancangannya dan “bukan untuk dijual”.
Gambar: AFP/Getty Images via Daily MailSementara itu, pemain berusia 37 tahun itu kini dilaporkan menghabiskan masa dengan keluarganya selepas tidak menyertai latihan pra musim bersama pasukannya ke Asia dan Australia ekoran masalah peribadi.
Terdahulu, Ronaldo merupakan penjaring terbanyak The Red Devils musim ini dengan mencetak 24 gol selepas kembali semula ke kelab itu pada musim panas lalu dari Juventus.
Imbas kembali laporan Eurosport terdahulu, Ronaldo sebelum ini pernah menyatakan bahawa dia mahu tinggalkan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu nanti.
Difahamkan, merujuk Skysport, spekulasi mengenainya yang mahu meninggalkan The Red Devils itu bertiup kencang ketika pemain berkenaan ‘bimbang’ tidak dapat bersaing untuk memenangi mana-mana trofi ketika ini.
Dalam pada itu, didorong dengan keinginan bermain di Liga Juara-Juara, Ronaldo meminta Manchester United untuk membenarkannya pergi sekiranya dia mendapat tawaran lain pada musim panas ini.
Sementara itu, menurut laporan dari The Telegraph, Ronaldo masih mempunyai sisa tiga atau empat tahun lagi untuk bermain di peringkat tertinggi dan mahu mewakili pasukan yang mampu meraih trofi kejuaraan.
Sumber: Daily Mail