
Kekasih Gelap Nekad Bakar Kereta Teman Lelaki Angkara Cemburu
Sebuah kereta jenis Toyota Avanza ditemui terbakar selepas didakwa dibakar oleh seorang wanita di Sumatera Utara, Indonesia, lapor Prohaba.
Kejadian itu kemudiannya telah tular di media sosial Indonesia dan mengundang reaksi pelbagai daripada pengguna laman tersebut.
Perkongsian video kebakaran kereta tersebut telah dikongsikan oleh pengguna Instagram yang menggunakan nama tkpmedan.
Berdasarkan video perkongsian tersebut, kereta itu kelihatan rosak teruk kesan daripada kebakaran yang berlaku.
Penduduk sekitar lokasi kejadian juga dilihat cuba memadamkan api tersebut menggunakan alat pemadam api.
Dalam pada itu, Ketua Polis Langkat, AKP Yudianto berkata kejadian itu dipercayai berlaku pada Selasa lalu kira-kira jam 12.00 WIB.
Kereta itu dikatakan dimiliki oleh seorang lelaki berusia 37 tahun yang merupakan penduduk asal Kota Medan.
Ketika kejadian, lelaki itu telah pergi ke rumah teman wanitanya berusia 27 tahun yang terletak di sebuah kompleks perumahan Tasri di Daerah Langkat.
“Pemilik kereta ini sudah berkahwin. Antara lelaki itu dengan suspek adalah mereka mempunyai hubungan istimewa atau bercinta selama lebih kurang 10 bulan,” kata Yudianto.
Suspek kemudiannya mengugut mahu membunuh dan membakar kereta Toyota Avanza milik mangsa.
Bagaimanapun, suspek gagal melakukan aksi itu ekoran keadaan di kompleks perumahan tersebut sedang ramai.
Suspek seterusnya menyiram kereta mangsa menggunakan petrol yang diambil dari rumah suspek.
Suspek juga meminta mangsa masuk ke dalam kereta yang telah disimbah petrol dan membawanya pergi.
“Suspek kemudiannya membawa kereta bersama mangsa dan berjalan menuju ke lokasi kejadian.
“Dalam perjalanan suspek singgah di kedai runcit untuk membeli minyak petrol lagi,” kata Yudianto.
Sewaktu tiba di tempat kejadian, suspek menyimbah petrol sekali lagi ke atas kereta dan segera membakarnya.
“Selepas membakar, mangsa melarikan diri dan meminta bantuan orang ramai untuk memadamkan api yang sedang marak,” tambah Yudianto lagi.
BACA: Jangan Marah Anak Kalau Malas Ke Sekolah, Mungkin Dia Dah Kena ‘Usik’
Kejadian itu kemudiannya dilaporkan ke Polis Stabat oleh Ketua Kampung Kwala Begumit.
Tidak lama kemudian, Polis Sektor Stabat akhirnya sampai ke lokasi kejadian dan menjalankan siasatan mereka.
Yudianto berkata, mangsa sudah pulang ke rumahnya dan akan membuat laporan polis bagi memudahkan prosiding undang-undang.
Sumber: Prohaba