Kemurungan adalah gangguan perasaan yang menyebabkan seseorang berasa sedih berpanjangan, keletihan dan ketiadaan tenaga. Malah ia turut berdampak kepada emosi individu dengan rasa cepat marah serta hilang minat dalam aktiviti harian.
Kemurungan boleh dihidapi sesiapa sahaja tidak kira umur, jantina atau bangsa dan terjadi sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun.
Seperti penyakit-penyakit lain, kemurungan turut menunjukkan ‘kehadirannya’ melalui beberapa simptom awal.
Antara simptom-simptom awal kemurungan ialah:
Perubahan tingkah laku kepada individu
Sentiasa kelihatan sedih dan murung
Hilang minat terhadap aktiviti yang biasa dilakukan
Mengalami gangguan tidur dan selera makan
Kesukaran menumpukan perhatian dan melakukan tugas harian yang biasa
Mengasingkan diri daripada keluarga dan rakan-rakan
Bertindak agresif dan kasar (abusive) kepada diri sendiri dan orang lain
Perasaan hilang harapan
Keinginan menamatkan riwayat
Sekiranya terdapat gejala-gejala seperti ini, individu dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat perubatan profesional dalam kadar segera bagi mengelakkan kejadian lebih buruk.
Sumber: Malaysia Government Call Centre