Kehilangan berakhir dengan tragedi, mayat seorang influencer yang terkenal di Amerika Syarikat dilaporkan ditemui pada Ahad lalu di kawasan Taman Negara Bridger-Teton, Wyoming.
Pihak FBI mengatakan bahawa cara kematian mangsa adalah disebabkan oleh pembunuhan.
Gabby Petito, 22, telah dilaporkan hilang pada hujung bulan Ogos lalu dan kali terakhir, dia dilihat keluar dengan teman lelakinya.
Menurut CNN, teman lelaki Petito telah kembali ke rumahnya di North Port, Florida berseorangan dan enggan bercakap dengan pihak berkuasa.
Ibu bapanya kemudian memberitahu polis bahawa dia meninggalkan rumah dengan beg galas pada 14 September.
Lelaki itu juga disyaki telah menggunakan kad debit dan PIN untuk akaun yang bukan miliknya dengan caj lebih dari $1,000 iaitu antara 30 Ogos dan 1 September.
Sementara itu, ahli keluarga Petito mengatakan bahawa mereka berkomunikasi kali terakhir pada 30 Ogos melalui mesej, namun mereka tidak percaya bahawa mesej yang diterima itu adalah dari Petito.
Disebabkan tingkah laku yang mencurigakan itu, lelaki itu kini menjadi suspek utama dan waran tangkap telah dikeluarkan terhadapnya.
“Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai lelaki ini, sila hubungi FBI,” kata FBI dalam satu kenyataan.
Petito dan teman lelakinya popular di media sosial setelah mendokumentasikan perjalanan mereka ke seluruh Amerika Syarikat dengan menaiki sebuah van putih yang diubahsuai.
Dalam pada itu, media sosial di sana menjadi hangat apabila tular satu rakaman video yang memaparkan Gabby dan teman lelakinya yang ‘disoal siasat’ oleh polis ketika dalam perjalanan di Moab, Utah.
Menerusi video itu, polis percaya bahawa pasangan itu mengalami masalah dan bertengkar. Terdapat juga seorang saksi yang mengatakan bahawa Petito telah menampar teman lelakinya selepas mereka bertengkar.
Sumber: CNN, CBS News