MELAKA, 7 Nov (Bernama) — Kehilangan seorang warga emas sejak Selasa lepas akhirnya terjawab selepas mayatnya ditemukan di dalam sebuah sungai kecil di Sungai Duyong di Duyong di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad berkata mayat lelaki berusia 71 tahun itu ditemukan orang awam dalam keadaan terlungkup di dalam sungai kecil berkenaan dengan tidak berpakaian kira-kira pukul 5 petang.
“Turut ditemukan pakaian dan sepasang kasut si mati yang dicamkan oleh anak mangsa kira-kira 20 meter dari tempat kejadian.
“Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka yang tiba di lokasi pada pukul 5.50 petang telah membantu menjalankan siasatan awal, mengesahkan tiada unsur jenayah berlaku dan tiada kelihatan kecederaan fizikal yang mungkin berpunca daripada perbuatan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Afzanizar berkata semakan mendapati anak mangsa telah membuat laporan polis mengenai kehilangan ayahnya pada pukul 9 malam Rabu lepas di Balai Bolis Tiang Dua di sini, selepas mangsa tidak pulang ke rumah sejak Selasa.
“Setakat ini, kita mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut namun dalam masa yang sama, siasatan menyeluruh akan terus dijalankan.
“Bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian mangsa akan dijalankan di Hospital Melaka hari ini,” katanya.
— BERNAMA