Kegiatan Lebur Tembaga Campuran Tumpas, Libatkan Rampasan RM3.5 Juta

Edayu

JOHOR BAHRU, 31 Mei – Satu sindiket melebur tembaga campuran dipercayai beroperasi tanpa lesen berjaya ditumpaskan melibatkan rampasan bernilai lebih RM3.5 juta di Simpang Renggam, dekat Kluang, pagi semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA) Supt Dimin Awang berkata pihaknya turut menahan lapan lelaki membabitkan tiga lelaki tempatan, empat lelaki warga China dan seorang lelaki warga Bangladesh berumur antara 24 dan 66 tahun di Kampung Ibrahim Majid, Simpang Renggam, dekat Kluang, pada 4.30 pagi.

Beliau berkata antara barangan yang dirampas termasuk enam guni berwarna putih berisi kepingan tembaga campuran, 24 palet berisi kepingan tembaga campuran, 41 guni berwarna putih berisi tembaga campuran, 13 jongkong berisi tembaga anggaran berat 450 kilogram setiap jongkong, 67 guni berwarna putih berisi arang batu dan dua forklift.

“Turut dirampas tiga generator, tiga mesin relau, enam mesin penyedut angin, dua unit penyedut air, sebuah mesin kimpal dan sebuah mesin penimbang yang membawa kepada nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM3,500,750.

“Tangkapan dan rampasan ini telah berjaya melumpuhkan sindiket melebur tembaga secara salah di kawasan Simpang Renggam dan Pontian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dimin berkata tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Kluang untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 6 Akta Barang Lusuh (ABL) dan Sek 6(1) Akta Imigresen.

— BERNAMA