KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) — Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur telah menganjurkan majlis keberangkatan secara maya untuk dua kadet Malaysia yang telah diterima melanjutkan pengajian di dua akademi tentera AS yang berprestij.
Majlis pada Rabu itu dihadiri oleh Duta Besar AS ke Malaysia Brian D. McFeeters dan Penolong Ketua Staf Operasi dan Latihan Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Hashim Aman Shah.
Kedua-dua kadet – Nicholas Ong Yong Xen dan Mohamed Khairel Adha Mohd Khairee – dipilih menerusi proses pemilihan rapi yang menilai potensi kepemimpinan, kecergasan fizikal, dan pencapaian akademik mereka, kata kedutaan dalam satu kenyataan.
Ong telah terpilih ke Akademi Tentera Laut AS (USNA) di Annapolis, Maryland. Ong merupakan bekas pelajar SMK Puchong Utama (1) sebelum menyertai Maktab Tentera Diraja (MTD) pada 2019. Di USNA, beliau akan mengikuti bidang operasi siber, dan komited untuk menjadi pegawai tentera laut dengan Tentera Laut Diraja Malaysia.
Mohamed Khairel Adha pula akan menyertai Akademi Tentera Udara AS (USAFA) di Colorado Springs, Colorado. Anak kelahiran Taiping, Perak Mohamed Khairel bersekolah di SMK King Edward VII sebelum memasuki Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) untuk pengajian asasnya. Khairel akan menuntut di bidang kejuruteraan aeronautika di USAFA dan bercita-cita menjadi juruterbang jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia setelah menamatkan pengajiannya.
Duta Besar McFeeters mengucapkan tahniah kepada kedua-dua kadet dan menzahirkan penghargaan kepada Angkatan Tentera Malaysia, Maktab Tentera Diraja, dan Universiti Pertahanan Nasional atas sokongan mereka dalam memastikan kerjasama akademik yang berterusan antara AS dan Malaysia, memperkukuh hubungan sesama rakyat, dan menjalin kerjasama erat antara kedua-dua negara.
“Rakyat Malaysia yang belajar di akademi tentera AS berfungsi sebagai duta Malaysia ke AS dan mempunyai hubungan sepanjang hayat dengan anggota dan warga tentera AS.
“Ikatan ini akan mengeratkan lagi hubungan kita. Hari ini, Kadet Nicholas dan Khairel telah menyertai barisan rakyat Malaysia yang hebat, ” tambahnya.
Dalam kenyataan sama, Ketua Pejabat Kerjasama Pertahanan di kedutaan, Leftenan Kolonel Lemar Farhad, berkata: “Program Akademi Tentera AS dengan Malaysia berperanan sebagai antara satu inisiatif paling penting dalam hubungan ketenteraan AS dengan Angkatan Tentera Malaysia. Lulusan program ini secara konsisten akan memegang jawatan penting dalam ATM.
“Kami berharap dapat mempererat hubungan dalam pembangunan modal insan melalui peningkatan program latihan dan pendidikan pada tahun-tahun akan datang”.
Leftenan Jeneral Hashim berkata: “Angkatan Bersenjata Malaysia melihat AS sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai dalam kerjasama pertahanan, terutama dalam meningkatkan pembangunan modal insan melalui pendidikan ketenteraan profesional dan program akademi perkhidmatan AS. Perkongsian komprehensif AS-Malaysia akan terus menjadi kerjasama yang saling menguntungkan untuk meningkatkan lagi hubungan pertahanan dua hala kedua-dua negara.”
Sehingga kini, seramai 34 rakyat Malaysia telah lulus dari empat akademi tentera AS, dengan kadet pertama menyertai Kelas Akademi Tentera Laut AS pada 1971. Tiga belas menamatkan program mereka di USNA, empat di USAFA, dua belas di West Point, dan lima di Akademi Pengawal Pantai AS.
Sumber: BERNAMA