SIBU, 8 Mei — Sebuah kedai menjual peralatan elektrik di bandar ini mengalami kerugian lebih RM50,000 apabila premis itu dipecah masuk dan pelbagai model telefon pintar berjenama terkemuka serta televisyen dilarikan pencuri awal pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata pengurus kedai itu menerima panggilan dari pusat sistem kawalan penggera pada kira-kira 5.47 pagi yang memaklumkan bahawa penggera kedai berbunyi dan pengurus itu telah meminta pusat tersebut menghubungi polis.
“Semasa pengadu sampai di tempat kejadian, beliau mendapati pintu penutup telah diumpil dan cermin hadapan kedai telah dipecahkan. Hasil pemeriksaan pengadu di kedainya itu mendapati 24 unit telefon bimbit yang diletakkan atas rak dan satu unit televisyen hilang,” katanya.
Dalam kes berasingan, seorang juruelektrik mendakwa menjadi mangsa penipuan pinjaman wang dalam talian pada awal bulan ini selepas tertarik dengan iklan pinjaman wang semasa melayari laman sosial Facebook.
Stanley berkata selepas perbincangan dengan pengiklan melalui aplikasi WhatsApp, mangsa bersetuju untuk membuat pinjaman sebanyak RM30,000 dan bayaran balik bulanan sekitar RM745 bagi tempoh empat tahun.
“Mangsa telah memindahkan wang berjumlah RM1,548 secara dalam talian, kononnya untuk memproses pinjaman itu, dan apabila pengiklan mula memberikan pelbagai alasan apabila ditanya mengenai pinjamanannya yang belum dikeluarkan, mangsa merasa tertipu dan membuat laporan polis,” katanya.
Sumber: BERNAMA