Biasanya sumbangan awam yang diberikan untuk mereka yang memerlukan adalah berbentuk makanan dan keperluan asas. Tidak kurang juga, ada pihak tertentu yang menawarkan bantuan berupa kewangan bagi memudahkan mereka untuk berbelanja.
Namun tahukah anda, salah satu isu kemiskinan yang kritikal tapi jarang mendapat ‘perhatian’ ramai adalah kemiskinan haid. Kemiskinan haid merujuk kepada golongan wanita yang tidak mampu untuk membeli tuala wanita sendiri kerana kekangan kewangan.
Kesan buruk akibat kemiskinan haid ini adalah wanita tersebut dibimbangi tidak memakai tuala wanita ketika sedang haid, atau terpaksa memakai tuala yang sama berulang kali. Sudah tentu sangat berisiko untuk kesihatan.
Justeru, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui rangkaian kedai runcitnya menyediakan inisiatif pemberian tuala wanita percuma kepada mereka yang kurang berkemampuan.
“Kemiskinan haid adalah isu global dan turut memberi kesan kepada kelompok miskin bandar di Malaysia. Sebagai permulaan, kedai @maiwphq dan YADIMart @YadimOfficial menyediakan tuala wanita percuma. Usaha dan kempen kesedaran perlu terus digiatkan dalam kalangan masyarakat.
“Ini sudah pasti usaha yang panjang kerana ia berkait rapat dengan pelbagai akar permasalahan. Agensi-agensi agama peringkat persekutuan di bawah tanggungjawab saya akan terus menyokong usaha murni ini. Terima kasih pembayar zakat dan penderma infaq!”
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri memaklumkan hal demikian dalam satu ciapan di Twitter hari ini.
Jelas Dr. Zulkifli, tuala wanita percuma itu boleh didapati di rak Gerobok Rezeki di mana-mana kedai MAIWP serta Bank Makanan YADIMart berhampiran.
Sumber: Twitter Dr. Zulkifli