Untung dan rugi itu dah menjadi lumrah dalam dunia perniagaan. Bak kata pepatah, hidup ini umpama roda, kadang di atas kadang di bawah.
Sama juga seperti pemilik kedai taiyaki di Jepun bernama Junya Hashimoto ini. Hashimoto merupakan pemilik kedai Taiyaki no Bunfukuya yang terletak di bandar Gyoda.
Di kedainya, Hashimoto menyediakan snek berbentuk ikan dengan inti kacang merah yang cukup umum di Jepun dan menjadi kegemaran masyarakat di sana.
Walaupun kedai taiyaki milik Hashimoto cukup popular di Gyoda beberapa tahun kebelakangan ini, namun Hashimoto masih melalui waktu sukar apabila tiba msuim panas di Jepun.
Menurut SoraNews, hasil jualan Hashimoto berkurang sebanyak 70 peratus semasa musim panas kerana permintaan taiyaki agak kurang ketika musim tersebut, tambahan pula dalam tempoh kawalan pergerakan seperti sekarang.
Maka dengan itu, Hashimoto terpaksa membuat keputusan yang sukar baginya. Awalnya dia ingin menaikkan harga taiyaki di kedainya namun dia berasa bersalah.
Oleh itu dengan berat hati, Hashimoto mengambil keputusan untuk mengurangkan inti kacang merah dalam taiyakinya.
Kerana rasa bersalah, Hashimoto meminta maaf kepada pelanggannya dengan meletakkan memo di depan kedai dengan tulisan,
“Sejujurnya, saya dah letak banyak anko (inti kacang merah) di dalam, tapi saya tak dapat untung.
“Saya akan kurangkan jumlah inti kerana kedai saya sudah hampir bankrap.
“Maafkan saya.”
Gambar memo tersebut turut dimuatnaik di akaun Twitter @tenjingouitsu dan mendapat perhatian warga net. Tweet tersebut diciap ulang sehingga 27.4 ribu kali serta mendapat sorotan media di Jepun.
Jujur betul kan pemilik kedai ni.
Sumber: SoraNews24