Gambar: Google

Keberkesanan Antibodi COVID-19 Diuji, KKM Perlukan Lebih Ramai Bekas Pesakit Tampil Untuk Bantu Kajian

Nur Adnin

PUTRAJAYA, 14 Okt – Kementerian Kesihatan (KKM) menyeru lebih ramai bekas pesakit COVID-19 untuk tampil bagi membantu keberkesanan ujian antibodi yang dijalankan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan antibodi dalam kalangan bekas pesakit akan dijalankan di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

“Maklumat ini akan diselidiki dan dikaji supaya kita dapat tahu darah yang diambil dan sejarah bekas pesakit yang melalui pengalaman rawatan dan sebagainya.

“Kita akan lihat pada keberkesanan iaitu respon antibodi dalam pesakit tersebut, sama ada tempoh antiobodi itu akan kekal atau ada kemerosotan antibodi selepas rawatan,” katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19 hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham memberi contoh kajian keberkesanan melalui rawatan kluster-kluster terdahulu sebelum ini.

“Jadi kalau kita lihat kajian awal iaitu satu kumpulan kluster di Sungai Lui, antibodi ini akan berkurang selepas lapan minggu.

“Jadi kita perlukan lebih ramai bekas pesakit tampil ke depan supaya kita dapat gunakan darah tersebut untuk dilihat pada ujian dan kekekalan antibodi dalam tubuh seseorang itu, sama ada akan merosot selepas tiga bulan atau tidak.

“Ini penting untuk kita melihat, kalau antibodi (itu) merosot selepas tiga bulan, mungkin pesakit tersebut boleh dijangkiti semula,” tambahnya.

Jelasnya lagi, KKM juga akan melihat pada kajian-kajian lain mengenai kesan kepada organ tertentu, kesan sampingan atau kesan jangka panjang kepada pesakit berkenaan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan pemberita mengenai bagaimana prosedur yang dijalankan dalam ujian tersebut.

Selain itu, pemberita juga turut mempersoalkan tentang hebahan yang dibuat secara terbuka serta isu privasi data maklumat pesakit.

Jelas Noor Hisham, sebarang hebahan ujian sememangnya akan diumumkan secara terbuka di laman rasmi atau media sosial Kementerian Kesihatan (KKM).

Sumber: KKM