Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) baru-baru ini mengeluarkan kenyataan mengenai tinjuan cuaca jangka panjang bagi bulan Jun hingga November 2022 ini.
Menurut Met Malaysia, ramalan tersebut dibuat berdasarkan penganalisaan beberapa model tinjuan iklim terpilih seperti NCEP coupled forecast system model version 2 (CFSv2), JMA Ensemble Prediction System (Tokyo Climate Centre), European Centre for Medium Range Weather Forecast (ECMWF) dan Seasonal Climate Forecast, International Research Institute for Climate Society (IRI).
“Negara pada masa ini berada dalam musim Monsun Barat Daya yang telah bermula pada 14 Mei 2022 dan dijangka berterusan sehingga pertengahan September 2022. Lazimnya, semasa Monsun Barat Daya, angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil. Keadaan ini menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan dan kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak daripada bilangan hari hujan. Walau bagaimanapun, hujan lebat berserta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai (squall line) masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah pada awal pagi. Garis badai adalah garisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam.
“Pada bulan Jun 2022, kebanyakan negeri di Semenanjung akan menerima hujan pada paras purata antara 100 mm hingga 250 mm kecuali di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Cameron Highlands dan sebahagian Negeri Sembilan, Melaka serta Kelantan yang dijangka menerima hujan sedikit bawah purata iaitu sekitar 50 mm hingga 200mm. Negeri Sarawak dijangka menerima hujan pada paras purata antara 150 mm hingga 300mm. Manakala negeri Sabah dan W.P Labuan juga dijangka menerima hujan pada paras purata antara 100 mm hingga 350 mm.

“Pada bulan Julai 2022, Semenanjung Malaysia dijangkakan akan menerima hujan pada paras purata antara 50 mm hingga 300 mm. Negeri Sarawak dijangka menerima hujan pada paras purata antara 150 mm hingga 350 mm kecuali di Kuching, Samarahan, Sri Aman dan Betong yang dijangkakan menerima hujan sedikit melebihi purata iaitu antara 250 mm hingga 300 mm. Negeri Sabah dan W.P Labuan pula dijangka menerima hujan pada paras purata antara 100 mm hingga 350 mm.

“Bagi bulan Ogos 2022, kebanyakan negeri di Semenanjung dijangka akan menerima hujan pada paras purata antara 50 mm hingga 400 mm kecuali di timur Kelantan dan utara Terengganu yang dijangka menerima hujan sedikit bawah purata iaitu antara 100 mm hingga 200 mm manakala di selatan Johor pula dijangka menerima hujan sedikit melebihi purata iaitu sekitar 250 mm hingga 300 mm. Negeri Sarawak dijangka menerima hujan pada paras purata iaitu antara 150 mm hingga 350 mm, kecuali di Kuching, Samarahan, Sri Aman yang dijangkakan menerima hujan melebihi purata iaitu sekitar 350 mm hingga 400 mm manakala di Betong, Sarikei dan Sibu pula dijangka menerima hujan sedikit melebihi purata iaitu sekitar 250 mm hingga 300 mm. Negeri Sabah dan W.P Labuan dijangka menerima hujan pada paras purata antara 100 mm hingga 350 mm.

“Pada bulan September 2022, kebanyakan negeri di Semenanjung dijangka akan menerima hujan pada paras purata antara 100 mm hingga 450 mm kecuali di timur Kelantan dan utara Terengganu yang dijangka menerima hujan sedikit bawah purata iaitu sekitar 100 mm hingga 200 mm manakala di selatan Johor dijangka menerima hujan sedikit melebihi purata iaitu sekitar 250 mm hingga 300 mm. Negeri Sarawak dijangkakan menerima hujan pada paras purata iaitu antara 200 mm hingga 350 mm, kecuali di Kuching, Samarahan, Sri Aman yang dijangka menerima hujan melebihi purata iaitu sekitar 350 mm hingga 400 mm manakala di Betong, Sarikei dan Sibu pula dijangka menerima hujan sedikit melebihi purata sekitar 300 mm hingga 400 mm. Negeri Sabah dan W.P Labuan dijangka menerima hujan pada paras purata antara 100 mm hingga 450mm.

Pada bulan Oktober 2022, Negara dijangkakan berada dalam fasa Peralihan Monsun dan kebanyakan negeri di Semenanjung dijangka akan menerima hujan pada paras purata antara 100 mm hingga 450 mm. Sebahagian Negeri Sarawak iaitu di Kuching, Betong, Sri Aman, Sarikei dan Sibu dijangka menerima hujan sedikit melebihi purata iaitu antara 350 mm hingga 450 mm manakala bahagian-bahagian lain dijangka menerima hujan pada paras purata antara 250 mm hingga 450 mm. Negeri Sabah dan W.P Labuan dijangka menerima hujan pada paras purata antara 100 mm hingga 500 mm.

“Pada bulan November, corak cuaca dijangkakan dipengaruhi oleh Monsun Timur Laut yang kebiasaannya bermula pada pertengahan bulan ini. Sehubungan itu, kebanyakan negeri di Semenanjung dijangka akan menerima hujan pada paras purata antara 200 mm hingga 800 mm. Negeri Sarawak dijangkakan menerima hujan pada paras purata antara 250 mm hingga 500 mm. Manakala Negeri Sabah dan W.P Labuan dijangka menerima hujan pada paras purata antara 100 mm hingga 450 mm.

Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia