
Kebakaran Tercetus Di Pelantar Minyak Song Doc
Satu insiden kebakaran dilaporkan tercetus di pelantar minyak Song Doc yang terletak di perairan luar pantai selatan Vietnam pada petang Rabu.
Kejadian itu berlaku ketika kerja-kerja pembersihan dan pembongkaran sedang dijalankan sebagai sebahagian daripada proses nyahaktif kemudahan tersebut.
VN Express melaporkan, Petrovietnam Domestic Exploration Production Operating Co. Ltd (PVEP POC), kejadian tersebut berlaku ketika subkontraktor sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pembongkaran pada pelantar pengeluaran lama di medan minyak Song Doc.
Bagaimanapun, kebakaran itu berjaya dikawal dalam tempoh kurang daripada 30 minit dan tidak menjejaskan persekitaran sekitar mahupun operasi minyak dan gas lain yang berdekatan.
PVEP POC menjelaskan bahawa medan minyak Song Doc telah kehabisan sumber dan ditamatkan operasinya sejak Februari 2024. Tiada sebarang aktiviti pengeluaran dijalankan ketika insiden kebakaran berlaku.
Difahamkan, satu siasatan sedang dijalankan dengan kerjasama pihak berkaitan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Untuk info, medan minyak Song Doc, yang terletak kira-kira 205 kilometer di selatan Tanjung Ca Mau, mula ditemui pada tahun 2006. Ia merupakan medan berskala kecil dengan keluaran puncak dianggarkan sekitar 28,000 tong sehari.
Pada asalnya, medan ini dioperasikan oleh PVEP bersama dua lagi rakan pelabur. Namun, disebabkan kos pengekstrakan yang tinggi dan hasil yang semakin merosot, medan ini tidak lagi memberikan pulangan ekonomi yang berbaloi.
Rakan-rakan pelabur mula menarik diri secara berperingkat, dan PVEP mengambil alih sepenuhnya operasi dari November 2013 untuk mengekstrak baki sumber yang tinggal.
Operasi medan minyak ini secara rasmi ditamatkan pada akhir tahun 2023, dan proses nyahaktif termasuk penutupan telaga minyak telah dimulakan sebagai persediaan untuk mengalihkan pelantar penggerudian.
Pihak berkuasa terus memantau situasi dan akan mengumumkan maklumat lanjut selepas siasatan selesai dijalankan.
BACA: Dua Kakitangan Kedutaan Israel Maut Ditembak
BACA: Gempa Bumi Landa Greece, Amaran Tsunami Dikeluarkan
BACA: Bumbung Menara Bersejarah Dinasti Ming Runtuh
Sumber: VN Express