kebakaran sumatera
Gambar: AFP

Kebakaran Melarat, Titik Panas Di Sumatera Meningkat Daripada 94 Ke Lebih 1,000

Fazidi

Kebakaran Melarat, Titik Panas Di Sumatera Meningkat Daripada 94 Ke Lebih 1,000

Jumlah titik panas di Pulau Sumatera dilapor meningkat secara mendadak daripada 94 ke lebih 1,000 titik dalam tempoh 10 hari.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika Indonesia (BMKG) pada Isnin, sebanyak 1,292 titik panas dikesan di wilayah itu.

Titik panas ini dikesan berdasarkan imej satelit dengan keamatan inframerah yang tinggi, yang menunjukkan sumber haba yang tinggi seperti kebakaran hutan atau tanah.

Riau menjadi wilayah paling teruk terjejas dengan kebakaran hutan dan tanah gambut di Pulau Sumatera dengan 582 titik panas dikesan setakat ini.

Jumlah berkenaan meningkat secara mendadak berbanding 38 titik panas yang dicatatkan pada 12 Julai lepas.

Menurut Penyelaran BMKG Wilayah Riau, Irwan Nasution, peningkatan tersebut berlaku disebabkan Riau kini sedang memasuki kemuncak musim kemarau, manakala intensiti hujan dan pembentukan awan semakin berkurangan.

Selain Riau, daerah Rokan Hilir dan wilayah Sumatera Utara turut terjejas teruk dengan insiden kebarakan ini. Di Rokan Hilir, sebanyak 244 titik panas di kesan manakala 236 titik panas direkodkan di Sumatera Utara.

Dalam pada itu, Badan Nasional Penanggulangan Bencana Indonesia (BNPB) berkata pihaknya melaksanakan pembenihan awam bagi mengatasi kebakaran hutan di Riau bermula 21 hingga 27 Julai ini.

Beberapa inisiatif tambahan turut dilaksanakan antaranya penggunaan helikopter untuk menggugurkan air di kawasan kebakaran. Malah, rondaan udara dilakukan untuk memantau status kebakaran semasa.

Kebakaran hutan sering berlaku di Indonesia disebabkan teknik ‘tebas dan bakar’ yang diamalkan oleh petani dan peladang di sana.

Ia dilakukan bagi tujuan membersihkan ladang masing-masing sebagai persediaan untuk musim baharu penanaman. Bagaimanapun, pertembungan aktiviti berkenaan dengan musim kemarau boleh memburukkan lagi keadaan.

BACA: Suami Isteri Dera Anak Guna Kulit Durian Dihukum Penjara, Denda

Sumber: Mediacorp SG