
PUTRAJAYA, 14 OGOS 2024 – TYT Rustam Minnikhanov, Rais (Presiden) Republik Tatarstan dalam Persekutuan Rusia telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu di Wism Tani, Putrajaya sebagai salah satu agenda lawatan kerja beliau dan delegasi dari Republik
Tatarstan ke Malaysia pada 13 Ogos 2024. Lawatan ini merupakan kunjung balas kepada kunjungan hormat YB Menteri ke atas beliau semasa di XIV International Economic Forum “Russia – Islamic World” atau KazanForum 2023 yang diadakan di republik tersebut pada Mei tahun lalu.
Semasa pertemuan, YB Menteri dan TYT Rustam telah membincangkan potensi kerjasama teknikal dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) antara Malaysia dan Rusia, terutamanya Republik Tatarstan.
Dalam hubungan ini, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah mengadakan perbincangan awal dengan Kazan State Agrarian University (KSAU) untuk meneroka peluang kerjasama dalam program penyelidikan serta pembangunan kapasiti dalam beberapa sektor seperti perubahan iklim, baja, pembiakan dan pengeluaran benih tanaman sayuran, kacang soya, pendigitalan, produk halal serta kejuruteraan genetik.

YB Menteri turut memohon kerjasama pihak Republik Tatarstan bagi membekalkan maklumat mengenai keperluan import produk-produk seperti bird’s nest, makanan sejuk beku serta barangan ready-to-drink dan ready-to-eat dari Malaysia untuk memasuki pasaran Republik Tatarstan.
Turut dibincangkan adalah kerjasama dalam perdagangan produk pertanian antara kedua-dua negara, terutamanya mengenai eksport daging dan produk tenusu dari Rusia ke Malaysia serta proses penilaian risiko bagi akses pasaran produk pertanian yang baharu.
Di akhir pertemuan, YB Menteri menzahirkan penghargaan atas pengesahan kehadiran Menteri Pertanian dan Makanan Republik Tatarstan, TYT Marat Zyabbarov dan delegasi pertanian dari Republik Tatarstan ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2024 yang dijadualkan pada 11-22 September 2024.

Hadir sama dalam pertemuan ini ialah Ketua Setiausaha, YBhg. Datuk Lokman Hakim bin Ali; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), YBhg. Datuk Azah Hanim binti Ahmad serta pegawai-pegawai kanan KPKM dan Jabatan/Agensi di bawah KPKM.