tiada perjumpaan bersama ph
Gambar hiasan | Bernama

Dijemput Perjumpaan Ahli Parlimen BN, Wee Ka Siong Terkilan Wakil PH Pun Ada

Nurhanis

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menegaskan beliau langsung tidak menyangka bahawa perjumpaan Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Hotel Sri Pacific, Kuala Lumpur pagi tadi turut dihadiri wakil Pakatan Harapan (PH).

Ka Siong dalam kenyataan berkata, beliau pada asalnya menerima satu notis melalui aplikasi WhatsApp daripada Setiausaha BN mengenai perjumpaan hari ini (Isnin) yang difahamkan hanya melibatkan ahli Parlimen BN.

Bagaimanapun segalanya berubah sejurus dirinya tiba di hotel tersebut dan mendapati wakil-wakil PH turut sama sudah berada di sana.

“Saya terkilan apabila sebaik saja tiba di Seri Pacific Hotel, pemimpin-pemimpin PH turut hadir dalam perjumpaan ini. Saya tidak tahu samada ianya telah pun diatur terlebih awal atau pun satu kebetulan.

“Perlu ditegaskan TIADA sebarang perjumpaan di antara Ahli Parlimen BN dan wakil PH berlangsung ketika saya berada di Seri Pacific Hotel dari 10 pagi hingga 12 tengahari.

“Apa yang pasti, saya HANYA menghadiri perjumpaan bersama Pengerusi BN dengan semua Ahli Parlimen BN sahaja,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Jelasnya, beliau hanya menghadiri perjumpaan seperti yang dirancang dan langsung tidak terlibat dengan mana-mana pihak selepas bersurai.

“Selepas perjumpaan dan sidang media bersurai, saya TIDAK terlibat dalam mana-mana perbincangan, pertemuan samada kebetulan atau tidak dengan pemimpin-pemimpin PH,” tambah Ka Siong.

“Apa jua keputusan yang dibuat oleh BN perlu mendapat persetujuan dan mandat daripada Dewan Tertinggi BN,” tambahnya lagi.

Terdahulu, media melaporkan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kenyataan mana-mana gabungan yang memasukkan partinya bersama bagi menubuhkan Kerajaan Persekutuan adalah tidak benar.

Kenyataan itu dibuat dalam satu sidang media di Hotel Sri Pacific di mana perjumpaan itu berlangsung pagi tadi.

Sumber: Wee Ka Siong via Facebook