Sama ada anda perasan atau tidak, di setiap wang kertas ringgit Malaysia tertulis perkataan ‘Bank Negara Malaysia’ dan ‘Ringgit Malaysia’ dalam tulisan khat Jawi.
Walaupun tulisan khat pada wang kertas itu hanyalah bersaiz kecil namun ia cukup bermakna kepada penulis khat ini.
Berbakat menghasilkan seni tulisan khat nyata membawa tuah kepada insan yang bernama Sulaiman Awang dan lebih mesra dipanggil Pak Aji. Ahmad Fedtri Yahya menerusi Facebooknya berkongsi gambar pemilik tulisan khat pada wang kertas ringgit Malaysia.
“Memori. Inilah orangnya…tulisan khat pada duit kita tu, Haji Sulaiman Awang yang tulis. CNN pun cari dia nak interview.”
Foto: FB Fedtri yahyaMengimbau kembali detik bersejarah itu, Sulaiman berkata pada Sinar Harian, beliau didatangi seorang lelaki pada tahun 1997 yang memintanya menulis perkataan ‘Bank Negara’ dalam tulisan Jawi di atas sekeping kertas.
“Lelaki berkenaan dikenali sebagai Haji Muhamad itu kemudiannya menghantar tulisan saya ke Bank Negara Malaysia (BNM). Tidak lama selepas itu, saya dimaklumkan mereka menerima tulisan saya untuk diabadikan pada wang kertas negara ini.”
“Saya tulis sekali sahaja dan tulisan saya terus diterima. Sudah tentu saya gembira dan rasa amat dihargai.”
Memetik daripada petikan Sinar Harian, tulisan khat yang ditulis Pak Aji ini pada wang kertas dari nilai RM2 hinggalah RM1,000.
Katanya, sebagai penghargaan, beliau menerima koleksi istimewa wang bercantum not RM2 dan RM10 daripada BNM.
Foto: Sinar HarianHaji Sulaiman mula mempelajari seni tulisan khat ini ketika belajar di sebuah sekolah agama di Bagan Serai, Perak.
“Pada tahun 1962, saya berhijrah ke Kuala Lumpur dan bekerja di Utusan Melayu. Ketika itu, saya menulis tulisan Jawi untuk tajuk berita di akhbar.”
Difahamkan, pada tahun 1970 hingga 1996, beliau bertugas pula di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Ceritanya lagi, beliau banyak menulis khat untuk buku sekolah yang dikeluarkab oleh DBP. Selain menulis tulisan khat, beliau juga aktif melukis komik.
Di usia emasnya kini, Haji Sulaiman tidak mensia-siakan bakat yang dimilikinya dan masih mendapat permintaan menulis khat. Antara tulisan khatnya yang boleh kita lihat pada papan tanda dan kepala surat Masjid Muadz bin Jabal di Setiawangsa.
Bakat yang dimilikinya turut diwarisi oleh anak perempuannya yang juga selebriti terkenal, Intan Azura sehingga memenangi pertandingan khat ketika di sekolah namun sayangnya ia tidak dikembangkan.
Seni khat perlu ketekunan
Foto: Sinar HarianBapa kepada empat orang anak ini berkata seni tulisan khat ini perlukan ketekunan yang tinggi.
”Tulisan khat ini ada pelbagai jenis. Misalnya, tulisan yang saya tulis pada wang kertas ialah jenis thulus dan nasakh. Dua jenis tulisan ini ada perbezaan seperti ketinggian dan besar huruf. Sebab itu, kalau nak mahir kena beri tumpuan betul-betul. Saya pun taklah pakar sangat sebab ramai lagi yang pakar,” jelasnya pada akhbar tempatan.
Kata akhir daripada orang lama seperti beliau mengharapkan industri khat dan tulisan Jawi dipromosikan ke tahap yang lebih tinggi dengan penglibatan lebih ramai orang muda.
Sumber: Sinar harian, Fedtri Yahya