Karnival Usahawan Cilik Generasi Madani PTPTN Galak Amalan Penabungan Seawal Usia Melalui Kelab Simpanan Pendidikan PTPTN
1. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Puchong Utama 3 telah mengadakan Karnival Usahawan Cilik Generasi Madani PTPTN pada hari ini. Karnival ini merupakan satu inisiatif strategik di bawah Kelab Simpanan Pendidikan PTPTN bagi membina dan mengembangkan potensi keusahawanan dalam kalangan generasi muda dan membudayakan amalan penabungan dalam kalangan murid.
2. Majlis Penutupan Rasmi Karnival Usahawan Cilik Generasi Madani PTPTN telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN bertempat di Sekolah Kebangsaan Puchong Utama 3, Selangor. Turut hadir, YBhg. Datuk Wan Hashim bin Wan Rahim, Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan dan Pembangunan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN, YBrs. Ts. Zulkernai bin Fauzi, Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional KPM, Encik Ahmad Haridan bin Hj. Mohammed, Timbalan Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian KPM dan YBrs. Encik Roslan Shaarip, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Puchong Utama 3.

3. Karnival ini disertai murid-murid dan guru-guru sekolah rendah di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Seramai 100 orang usahawan cilik yang terdiri daripada murid-murid di 20 buah sekolah yang berdaftar dengan Kelab Simpanan Pendidikan iaitu sekolah dari Pejabat Pendidikan Petaling Perdana, Pejabat Pendidikan Petaling Utama serta Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya telah membuka gerai jualan. Pelbagai aktiviti disediakan seperti Pertandingan Mewarna, Pertandingan Menyusun Puzzle dan Pertandingan Karaoke. PTPTN juga turut membuka kaunter promosi Simpan SSPN yang menawarkan pelbagai cendermata menarik bagi pembukaan akaun baharu atau penambahan deposit sepanjang karnival berlangsung.

4. PTPTN juga berbesar hati menyampaikan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sebanyak RM153,300.00 melalui Program Tabung Impian Kasih Simpan SSPN, khusus kepada ahli Kelab Simpanan Pendidikan di seluruh negara. Melalui program ini, PTPTN memberikan sumbangan akaun Simpan SSPN Prime kepada murid yang masih aktif sebagai ahli Kelab Simpanan Pendidikan pada tahun 2024. Sumbangan ini melibatkan 1,533 orang murid dengan setiap murid akan menerima RM100.00 dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime.
5. Menurut Dato’ Seri Norliza, “Karnival Usahawan Cilik Generasi Madani PTPTN merupakan komitmen PTPTN dalam menyahut seruan kerajaan berteraskan konsep Malaysia Madani yang menekankan kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Selari dengan objektif penubuhan Kelab Simpanan Pendidikan, karnival ini diharap dapat mempromosikan Simpan SSPN sebagai satu wadah penabungan melalui aktiviti keusahawanan.”

6. “Saya menyeru dan berharap agar sekolah-sekolah di negara ini dapat merebut peluang untuk berdaftar dengan Kelab Simpanan Pendidikan dan dapat menikmati pelbagai kelebihan yang disediakan. Antaranya, dapat menjadi Sahabat PTPTN, menikmati Insentif Kelab Simpanan Pendidikan berjumlah RM1,000.00 secara one-off, tajaan sudut info sebanyak RM250.00 dan berpeluang menyertai Pertandingan Menabung Peringkat Sekolah dan Peringkat Nasional anjuran PTPTN,” ujar beliau.
7. PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus komited untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penabungan melalui Simpan SSPN bagi mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman. PTPTN yakin usaha ini akan disokong oleh semua pihak bagi merealisasikan visi PTPTN sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara. Untuk maklumat lanjut, layari www.ptptn.gov.my .