Gambar: Bernama

Karnival Kerjaya PERKESO Terima Sambutan Menggalakkan

Aqmal Ezany

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) — Karnival Penjana Kerjaya Kebangsaan 2021 Kementerian Sumber Manusia selama empat hari yang berakhir hari ini, mendapat sambutan luar biasa selepas 19,450 pencari kerja dari seluruh negara menyertai karnival berkenaan.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, seramai 118 calon berjaya ditawarkan pekerjaan, 735 calon berada dalam panggilan temu duga peringkat kedua, manakala 1,431 calon lain, dimasukkan ke senarai untuk pertimbangan oleh majikan, menerusi sesi temu duga karnival berkenaan yang diadakan secara maya sejak Selasa lepas.

“Pencari kerja yang berumur dalam lingkungan 18-30 tahun mencatatkan bilangan calon paling ramai ditawarkan pekerjaan iaitu 63 orang. Jumlah tersebut termasuklah 13 orang calon daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang menduduki sesi temu duga,” menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan itu turut mendedahkan penyertaan daripada pihak majikan amat menggalakkan, dengan 78 syarikat sektor swasta dan awam menyertai karnival kerjaya ini yang menawarkan 10,802 kekosongan jawatan.

Tiga majikan yang mengambil pekerja paling ramai daripada temu duga sepanjang karnival ini adalah TM One, Gain Forlife Sdn Bhd dan Bhavya Anand Manpower Supply, iaitu dari sektor maklumat dan komunikasi serta aktiviti perkhidmatan lain.

Karnival kerjaya berkenaan dirasmikan bersama oleh Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan, semalam.

Selain sesi temu duga, penganjuran program Siri Webinar Kerjaya yang bertemakan ‘Kebolehpasaran Pekerjaan Dalam Norma Baharu’ turut diadakan pada Selasa lepas, yang menarik penyertaan hampir 1,000 peserta.

Bagi memastikan lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan, Perkeso menegaskan mereka akan meneruskan penganjuran karnival sama, ke seluruh negara selepas ini.

“Semua maklumat mengenai peluang kerjaya, senarai program temu duga terbuka dan karnival pekerjaan boleh didapati di laman sosial rasmi Perkeso dan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), dari semasa ke semasa,” jelas Perkeso.

Orang ramai terutamanya golongan pencari kerja dan individu yang kehilangan pekerjaan, digalakkan untuk mendaftar di portal MYFutureJobs, menerusi laman sesawang https://www.myfuturejobs.gov.my.

Sumber:BERNAMA